Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijadualkan akan dinyahorbit pada tahun 2031 setelah beroperasi sejak 1998. SpaceX telah diberikan kontrak membina Kenderaan Nyahorbit Amerika Syarikat (USDV) yang akan digunakan untuk menolak ISS keluar daripada orbit dan terhempas di Point Nemo.
Minggu ini NASA mendedahkan pelan bagaimana proses nyahorbit akan dilakukan. Pertama sekali USDV hanya sebuah kapsul SpaceX Dragon yang diubahsuai dengan lebih banyak bahan api dan daya tujahan lebih tinggi. NASA akan melabuhkan USDV 18 bulan sebelum nyahorbit dilakukan. ISS kemudiannya akan diturunkan dari orbit asal 400 km daripada permukaan bumi secara berperingkat sehingga 2031.

USDV juga mempunyai fungsi sekunder untuk mengekalkan ISS lebih lama di orbit sekiranya NASA dan sekutu gagal membina stesen angkasa baharu seperti yang dirancang sebelum ini. Rusia telahpun berkata tidak akan terlibat lagi dengan NASA dan akan membina stesen angkasa sendiri bermula 2027.
Pada peringkat akhir, USDV akan memberi tolakan terakhir untuk ISS kembali ke bumi dan hancur disebabkan oleh rintangan udara. NASA dan rakan program ISS hanya akan membawa pulang sebahagian komponen ISS sebagai peringatan generasi depan. Tetapi seperti Skylab, sebahagian besar komponen ISS akan dibiarkan musnah terbakar.
USDV terpaksa dibangunkan oleh NASA dan SpaceX kerana mengikut perancangan asal, kapal angkasa Progress buatan Rusia sepatutnya melakukan tolakan terakhir ISS. Dengan hubungan NASA dan Roscosmos retak selepas konflik di Ukraine, pelan baharu terpaksa dirangka.