Pesawat Supersonik Overture Boleh Mendarat Sendiri dan Dilengkapi Set Kepala Tembus Tubuh
Effi Saharudin
Boom Overture ingin mengembalikan pesawat penumpang supersonik (SST) ke udara buat pertama kali sejak Concorde berhenti beroperasi 21 tahun lalu. Di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough yang berlangsung minggu ini, Boom mendedahkan Overture kelak akan mempunyai kemampuan mendarat sendiri dan juga hadir dengan set kepala realiti terimbuh (AR) yang membolehkan juruterbang melihat menembusi tubuh pesawat.

Boom berkatam Overture direka untuk melakukan pendaratan secara automatik setiap masa tanpa bantuan juruterbang bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan lancar. Tetapi jika juruterbang diperlukan, set kepala AR membolehkan mereka melihat menembusi tubuh pesawat.
Kerana Overture mempunyai rekaan seakan pesawat pejuang, pemandangan juruterbang akan terhalang ketika mendarat. Pada Concorde hidung boleh diturunkan secara mekanikal bagi memberikan pemandangan lebih jelas ketika mendarat. Boom tidak mahu menggunakan sistem mekanika yang kompleks dan berat. Oleh itu sistem kamera definisi tingi 360 darjah membolehkan pemandangan dari bawah pesawat dipancarkan ke set kepala AR juruterbang.

Sistem yang sama digunakan juruterbang pesawat tempur Lockheed Martin F-35 dan kelak pada Global Combat Air Programme (GCAP) Tempest. Pihak Boom telah menandatangani MOU dengan syarikat Universal Avionics untuk membekalkan sistem ClearVision Enhanced Flight Vision System (EFVS) yang terdiri daripada set kepala SkyLens II dan kamera EVS-5000.

Turut diumumkan ialah kokpit Overture akan menggunakan empat skrin 17″ untuk memaparkan maklumat penerbangan. Alat kawalan FBW Overture juga akan yang menjadi yang pertama dalam industri aeronautik untuk mempunyai sistem timbal balas haptik.
Kesemua sistem yang akan digunakan pada Overture kini sedang diuji pada pesawat ujian XB-1 yang berjaya melakukan penerbang pertama Mac tahun ini. Sekiranya semua berjalan lancar, Overture akan melakukan penerbangan pertama pada tahun 2026 dan mula membawa penumpang menjelang 2029. Setakat ini United Airlines, Japan Airlines dan American Airlines adalah antara syarikat penerbangan yang berminat untuk menggunakan Overture.
[sumber] Boom Supersonic [/sumber]