Carian
Anda Tidak Boleh Menuntut Jaminan Set Import Google Pixel Di Malaysia
August 2, 2024 Fahim Zahar

Berita baik bagi peminat Google Pixel di Malaysia, selepas bertahun bergantung kepada set import tahun ini akhirnya akan ada set rasmi. Ini menyelesaikan masalah harga jualan yang tidak konsisten serta memudahkan proses menuntut jaminan. Jadi adakah Pixel-Pixel yang anda beli sebelum ini boleh dituntut jaminannya di Malaysia, seperti iPhone yang menyokong tuntutan jaminan peringkat antarabangsa?

Menurut wakil Google Store, tidak. Secara rasmi Google Pixel tidak pernah menyokong tuntutan jaminan peringkat antarabangsa. Negara yang ada Google Store boleh tuntut dengan kedai rasmi, sementara yang tiada boleh tuntut dengan pengedar dan penjual sah yang telah diiktiraf. Walaupun begitu mengikut kes dan budi bicara bersama wakil Google, ada kalanya mereka akan membenarkan tuntutan di negara yang Pixel dijual secara rasmi.

Ini bermakna di Malaysia, anda tidak boleh menuntut set import yang dibeli di Google Store Singapura, Google Store Amerika Syarikat atau Amazon di Malaysia. Anda hanya boleh tuntut di kedai seperti Senheng, Maxis, CelcomDigi atau kedai lain seperti Urban Republic yang telah mengacah kehadiran siri Pixel 9.

Jika anda ingin semak sendiri, anda boleh terus memohon di laman khidmat bantuan pelanggan Google untuk wakil mereka menelefon anda. Dengan syarat ada langganan Google One untuk menerima layanan yang pantas berkilat.

Komen