Jualan telefon pintar di China meningkat sebanyak 6% tahun ke tahun pada Q2 2024 (memetik laporan Counterpoint Market Pulse Service) dengan vivo mengekalkan kedudukan teratas. Melaluinya jenama ini mencatatkan bahagian pasaran sebanyak 18.5% yang disumbang sebahagian besarnya oleh peranti premium siri X. Ia menjadi lebih menariknya lagi apabila vivo juga sebenarnya menjadi salah satu tunjang utama telefon pintar di China sejak diperkenalkan pada tahun 1995.
Selain turut menjadi peneraju teknologi terbaik melalui keupayaan teknologi yang unik. Antara kejayaan yang berjaya menaikkan nama vivo di persada dunia ialah antara terawal yang menawarkan peranti dengan paparan beresolusi 2K, pengimbas cap jari terbina di bawah skrin dan sistem kamera yang menggunakan bukaan aperture f/1.8 bersama Optical Image Stabilization (OIS).
Bersempena dengan lawatan ke ibu pejabat penyelidikan dan pembangunan (R&D) milik vivo di Dongguan China baru-baru ini sekumpulan media telah diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana proses menghasilkan telefon pintar. Dalam masa sama diberi pendedahan secara langsung tentang pelbagai teknologi dan pencapaian vivo dalam pasaran telefon pintar secara keseluruhannya. Artikel ini merupakan satu perkongsian kami untuk bacaan bersama seterusnya dijangka mampu memberi kefahaman lebih baik tentang jenama ini.
Sebelum kita meneliti lebih lanjut adalah tepat jika dikongsikan terlebih dahulu statistik yang menunjukkan bahawa vivo mempunyai lebih 18,000 orang pekerja secara global sehingga Ogos tahun lalu. Ini termasuklah kira-kira 13,000 orang daripadanya yang terdiri dengan kakitangan pusat R&D syarikat.
Jika dikhususkan dari aspek pembangunan penting, jenama ini disokong sepenuhnya oleh rangkaian pusat R&D terbesar di seluruh China dengan tumpuan kepada teknologi terkini yang canggih.Ia termasuk teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), reka bentuk perindustrian dan lain-lain yang berkaitan. vivo juga telah menyediakan rangkaian pembuatan pintar dengan kapasiti pengeluaran tahunan hampir 200 juta telefon pintar. Kemudian mengembangkan rangkaian jualannya kepada lebih daripada 500 juta pengguna di lebih 60 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Melalui kerjasamanya dengan ZEISS juga dilihat terus mengembangkan segmen pengguna globalnya dengan standard baharu untuk memajukan lagi kecanggihan fotografi mudah alih profesional. Dalam erti kata lain meletakkan keupayaan fotografi yang dahulunya hanya boleh diakses oleh jurugambar professional kini beralih pula ke tangan seorang pengguna telefon pintar biasa. Dengan itu terhasillah siri vivo X60 yang menjadi peranti terawal menawarkan sistem pengimejan dengan kepakaran ZEISS.
Kemudian penggantinya siri vivo X70 pula telah ditambah baik dengan cip pengimejan tersendiri vivo V1 yang berfungsi untuk mengoptimumkan kuasa cip pemprosesan dan tangkapan gambar waktu malam. Kecemerlangan itu diteruskan lagi dengan kehebatan peranti siri V30 yang juga mendapat kerjasama ZEISS untuk sistem kameranya. Usaha yang tidak mengenal erti jemu pasti membuah hasil sehingga kini ditawarkan pula pada peranti akan datang siri V40 5G. Selain itu disahkan akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Dalam jangka panjang pula, vivo telah banyak menyumbang kepada pembangunan 5G di pasaran luar negara. Ia merangkumi ujian rangkaian komersial 5G SA pertamanya di luar China dengan kerjasama penyedia komunikasi mudah alih serantau terkemuka, AIS pada 2021 lalu. Seterusnya bekerjasama pula dengan organisasi global untuk menyokong acara serta projek sukan kegemaran pengguna iaitu bola sepak misalnya.
Diteruskan lagi artikel ini dengan proses pembuatan telefon pintarnya pula. Ia dihasilkan sepenuhnya dengan keupayaan mesin dan manusia dengan teknologi terkini dalam menggandakan hasil pengeluaran. Peringkat awal pembuatan kami ditunjukkan bagaimana komponen dicantum untuk menghasilkan sebuah telefon pintar. Ianya bermula dengan bahagian bingkai utama yang kemudiannya disambungkan dengan tubuh, kerangka tepi, kamera, bateri dan sebagainya. Dikatakan juga bahawa mereka mampu menghasilkan sebanyak 3400 unit telefon pintar sehari dengan purata 11.3 saat untuk sebuah peranti.
Peranti yang telah siap juga akan diuji melalui pelbagai ujian yang termasuk dijatuhkan dari pelbagai ketinggian sehinggalah diuji untuk dibengkokkan. Selain turut akan melalui ujian komponen luaran iaitu butang kuasa dan port USB-C untuk memastikan peranti mampu berfungsi dengan baik sebelum dikomersialkan. Melalui ujian ketahanan struktur kerangka dan ujian jatuh, peranti aka dijatuhkan sebanyak 18 kali daripada pelbagai ketinggian, sudut serta permukaan. Kesemua peranti boleh lipat mereka turut menjalani ujian lipatan berat untuk menahan maksimum 500,000 kali lipatan.
Kemudian kami ditunjukkan pula proses pembuatan papan induk juga disebut sebagai motherboard yang menjadi sistem utama di telefon pintar. Melaluinya terdapat empat belas komponen disertakan dalam menghasilkan motherboard tersebut. Satu papan induk akan dibahagikan kepada empat bahagian dalam satu masa selepas kesemua komponen tadi dicantumkan. Papan induk yang telah dicipta juga perlu melalui sejumlah ujian yang termasuk perisian, WiFi, antena dan sebagainya. Sekiranya terdapat masalah yang ditemui maka papan induk tersebut tidak akan digunakan sama sekali.
vivo turut tidak ketinggalan untuk berkongsi proses penghasilan peranti penjagaan kesihatan seperti jam tangan pintar. Kesemua data kesihatan diperoleh daripada ujian ke atas seorang manusia sebenar yang kemudiannya digunakan sebagai rujukan untuk penghasilan produk berkenaan. Paling menarik ialah ujian pola waktu tidur yang turut disediakan bilik khusus lengkap katil untuk proses ujian melihat kitaran tidur seorang manusia dalam masa nyata.
Untuk makluman setiap pusat R&D memberi tumpuan kepada pembangunan inovasi berkualiti yang secara khusus berorientasikan untuk memenuhi keperluan pengguna. Misalnya seperti pusat R&D di Dongguan tertumpu pada sektor pembangunan perkakasan. Setiap inovasi yang dihasilkan juga bukan sahaja bertumpu kepada teknologi malahan juga faedahnya untuk pengguna. Namun menariknya lagi apabila pusat itu lebih daripada ruangan bekerja kerana mereka turut menyediakan kediaman khusus untuk pekerjanya dan kami berpeluang sendiri merasai pengalaman mendiaminya yang memiliki konsep seperti sebuah rumah studio.