Spotify dan Epic Games Mengatakan Garis Panduan Baharu Apple Untuk Mematuhi DMA Adalah Mengelirukan
Effi Saharudin
Apple memperkenalkan beberapa ciri baharu pada App Store bagi memenuhi Akta Pasaran Digital (DMA) oleh Kesatuan Eropah (EU) yang akhirnya membenarkan stor pihak ketiga dan pembayaran di luar ekosistem mereka. Tetapi pada waktu yang sama Apple masih meminta bayaran Core Technology Fee daripada pembangun dengan mengambil potongan 17% daripada setiap pembayaran pelanggan. Akibatnya pada Jun lalu Apple disiasat oleh EU kerana perubahan yang dilakukan didapati masih tidak mematuhi DMA.

Pagi ini Apple mengemaskini sekali lagi garis panduan menggunakan stor mereka dengan pilihan baharu bagi memenuhi keperluan DMA. Jika pembangun enggan membayar Core Technology Fee, mereka boleh memilih untuk tidak menggunakannya tetapi mereka akan dikenakan pembayaran baharu “Yuran Perolehan Permulaan” dan “Yuran Perkhidmatan Kedai” yang mengambil potongan 15% daripada setiap pembayaran yang dilakukan oleh pelanggan.
Dalam kenyataan yang diberikan kepada Techcrunch, Spotify mengatakan garis panduan baharu ini adalah mengelirukan dan tidak boleh diterima kerana DMA tidak membenarkan fi berkali-kali dikenakan untuk elemen asas seperti pautan keluar dari App Store dan pembayaran langganan.
Sementara itu CEO Epic Games, Time Sweeney pula berkata Apple meneruskan pematuhan berniat jahat dengan mengenakan “yuran sampah” baharu 15% yang tidak sah kepada pengguna yang berhijrah ke stor pesaing. Pihak EU masih belum mengeluarkan kenyataan sama ada garis panduan baharu Apple ini mematuhi DMA dan sama ada siasatan yang dilakukan Jun lalu akan diteruskan.