Bangunan Setinggi Lebih 1 Kilometer Di Jeddah Bakal Siap Menjelang 2028
Effi Saharudin
Tahun lalu pembinaan Jeddah Tower yang apabila siap kelak bakal mencapai ketinggian 1 kilometer disambung semula selepas terbengkalai sejak 2018 disebabkan perebutan kuasa di antara putera-putera raja Arab Saudi.
Kini pihak Kingdom Holding Company mengumumkan nama baharu, ketinggian akhir dan juga bilakan menara ini akan siap dibina. Nama baharu yang akan digunakan ialah Jeddah Economic Company Tower (JEC Tower) dengan ketinggian akhir 1007 meter apabila siap menjelang 2028.

Pembinaan akan dilakukan oleh firma Saudi Binladin Group dengan kos mencecah SAR 7.2 billion (~RM 8.2 bilion). Ia dengan mudah meminta ketinggian bangunan tertinggi dunia Burj Khalifa yang setinggi 828 meter. Fakta menarik di sini ialah JEC Tower dan Burj Khalifa kedua-duanya direka oleh firma senibina Adrian Smith + Gordon Gill.
Secara keseluruhan JEC Tower akan mempunyai 157 tingkat dan dilengkapi 59 lif. Terdapat satu platform peninjau yang juga akan menjadi yang tertinggi di dunia. Menara akan menempatkan pusat membeli belah, pejabat, hotel dan tempat kediaman eksklusif bagi golongan elit.

Pada asalnya Kingdom Holding Company ingin bangunan ini mencecah ketinggian 1 batu (1.6 kilometer) tetapi rancangan dibatalkan kerana muka bumi Jeddah tidak mampu menampung berat bangunan setinggi ini. Status JEC Tower sebagai bangunan tertinggi dunia dijangka tidak kekal lama kerana sebuah lagi pencakar langit melangkaui 1 kilometer akan dibina di Riyadh.
Arab Saudi kini menjadi negara dengan jumlah projek mega paling banyak di dunia. Di pawah kepimpinan MBS, projek membina bangunan terpanjang dunia, roller coaster terpantas, kiub terbesar dunia dan pusat peranginan moden berlangsung secara serentak. Ini adalah bagi mengubah imej negara pengeluar minyak ini menjadi destinasi pelancongan moden.