Arm Akan Membatalkan Lesen Qualcomm Untuk Menggunakan Teknologi Rekaan Cip Mereka
Effi Saharudin
Arm akan membatalkan lesen yang membenarkan Qualcomm menggunakan senibina mereka bagi membangunkan cip menurut laporan Bloomberg. Ini ialah kesinambungan kepada perbalahan antara kedua-dua syarikat sejak 2022, selepas Qualcomm mengambil-alih Nuvia yang membuatkan Arm memfailkan saman. Qualcomm diberikan notis 60 hari bahawa persetujuan pelesenan akan dibatalkan selepas tempoh tersebut.

Notis diberikan juga dua bulan sebelum kedua-dua syarikat akan memulakan prosiding di mahkamah. Pengumuman dilakukan ketika Snapdragon Summit dimana Qualcomm mengumumkan cip Snapdragon 8 Elite, Snapdragon Ride Elite dan Snapdragon Cockpit Elite yang menggunakan CPU Oryon terkini yang direka oleh Nuvia.
Arm memfailkan saman ke atas Qualcomm dan anak syarikatnya Nuvia kerana didakwa melanggar terma pelesenan teknologi serta harta intelek yang dipegang oleh mereka. Lesen menggunakan teknologi ARM oleh Nuvia tamat pada Mac 2022. Qualcomm kemudiannya dikatakan memindahkan lesen yang dipegang mereka untuk digunakan oleh Nuvia yang menurut Arm melanggar terma dan syarat.
Arm juga berkata rekaan cip yang dihasilkan menerusi kerjasama Nuvia dan Arm sebelum syarikat diambil oleh Qualcomm perlu dimusnahkan kerana ia tidak boleh dikongsi tanpa kebenaran. Bagi mempertahankan harta intelek milik mereka, saman difailkan dua tahun lalu.