Carian
Pembinaan Bangunan Kiub Terbesar Dunia Dimulakan Di Riyadh
October 30, 2024 Effi Saharudin

Tahun lalu kami melaporkan mengenai projek Mukaab yang menimbulkan kontroversi kerana bangunan berbentuk kiub gergasi ini dilihat sebagai penghinaan kepada kiblat suci umat Islam sehingga diberikan nama jolokan “Kaabah Jahiliah”

Walaupun projek menerima pelbagai reaksi negatif umat Islam global, pembinaan Mukaab telahpun dimulakan di Riyadh dua minggu lalu. Setakat ini sebanyak 10 juta meter padu tanah telah dialihkan bagi membina tapak asas Mukaab dengan ia melibatkan 900 orang pekerja.

Mukaab apabila siap kelak akan menjadi bangunan berbentuk kiub terbesar dunia dengan dimensi 400x400x400 meter. Ini adalah cukup besar untuk menempatkan 20 bangunan Empire State. Di dalam Mukaab yang bermakna kiub dalam Bahasa Arab terdapat sebuah menara yang akan menjadi tempat kediaman, membeli belah, pelancongan, dan perniagaan. Menara ini mempunyai keluasan lantai 2 juta meter persegi.

Menara ini akan dilitupi oleh skrin gergasi yang boleh memaparkan pelbagai pemandangan luar kerana Mukaab tidak mempunyai tingkap. Oleh itu pemandangan penduduk di dalam menara boleh diubah mengikut musim, masa dan cuaca.

Di bahagian dinding Mukaab terdapat tempat kediaman dan di bahagian atap terdapat pula sebuah taman untuk kegunaan pelawat serta penduduk. Ini sekaligus akan menjadikannya taman kedua tertinggi dunia selepas Tiger Sky Tower yang mempunyai hutan tropika pada ketinggian 447 meter.

Mukaab adalah sebahagian daripada projek New Murabba dengan keluasan 19 kilometer persegi yang akan menjadi tempat tinggal ratusan ribu penduduk. Di dalam bandar baharu ini, terdapat ruang lantai seluas 25 juta meter persegi yang akan menempatkan universiti, muzium, ruang pejabat, hospital dan tempat keduaman. New Murabba dijangka siap menjelang 2030.

Dengan Mukaab, Arab Saudi akan mempunyai negara dengan kiub terbesar dunia, bangunan paling panjang dunia The Line dan bangunan tertinggi dunia JEC Tower yang mencecah 1007 meter.

Komen