Tahun 2025 adalah tahun AI sekali lagi, di mana pengeluar produk kali ini akan membuktikan AI bukan lagi gimik tetapi ciri berguna. Di CES 2025, Samsung telah memperlihatkan teknologi AI baharu untuk televisyen pintar dengan One UI baharu mereka.
Seperti yang semua sedia maklum, televisyen pintar Samsung kini menggunakan One UI berasaskan Tizen OS 8.0. Dengan kemas kini ini, ciri Galaxy AI akan disertakan sekali. Salah satu ciri baharu yang diperkenalkan adalah Samsung Food yang menggunakan pangkalan data Whisk. Apabila pengguna memainkan video di televisyen, Samsung Food boleh mengenalpasti makanan yang dipaparkan atau aksi masakan yang sedang ditayangkan.
Kemudian, resipi boleh dikeluarkan untuk pengguna masak sendiri. Bukan itu sahaja, ia turut boleh sambungkan dengan aplikasi Samsung Food pada iOS atau Android. Data yang dikumpul kemudian boleh membantu pengguna meletakkan bahan masakan ke dalam troli membeli-belah untuk melakukan pembelian dari aplikasi Samsung Food.
Di televisyen Samsung, ciri Live Translate turut diteruskan dengan teknologi Galaxy AI mengenalpasti audio dan menjana transkrip teks untuk paparan sari kata. Ciri AI lain adalah untuk pengguna kurang upaya iaitu AI-based Voice Removal with Audio Subtitles, yang membisukan audio di TV dan hanya memaparkan sari kata.