Meta Mula Menguji Ciri Nota Komuniti Pada Aplikasi Threads
Fahim Zahar
Tahun 2025 tiada lagi ciri semakan fakta pada perkhidmatan media sosial Meta, kerana ia akan digantikan dengan ciri nota komuniti. Perkara ini dikatakan tidak perlu dirisaukan kerana ia tidak akan menjejaskan pengguna di Malaysia.
Terbaru, Meta nampaknya telah bersedia menyediakan ciri nota komuniti pada platform media sosial mereka. Peniris terkenal Alessandro Paluzzi menemui ciri ini sedia terbina di dalam aplikasi Threads. Untuk menggunakannya, hanya tekan menu tiga titik pada mana-mana perkongsian di Threads dan tekan Write Community Note.

Setiap nota yang ditulis adalah awanama dan ia turut akan dihubungkan kepada Instagram kerana semua artikel dan khidmat bantuan pengguna Threads adalah di IG. Ciri ini dikatakan akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dengan pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu.

Adakah anda gemar perkongsian di platform Meta tiada semakan fakta dan hanya bergantung kepada nota komuniti? Jika risau, ayuh daftar akaun Daun dan ikuti pelbagai penerbit berita yang telah mula bercucuk tanam di sana.
[sumber] Threads. – @alex193a [/sumber]