Carian
Belanda Mengetatkan Lagi Kawalan Eksport Mesin Menghasilkan Cip
January 15, 2025 Effi Saharudin

Kerajaan Belanda mengetatkan lagi kawalan eksport mesin yang diperlukan untuk menghasilkan semikonduktor yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan seperti ASML. Bermula 1 April 2025, jualan beberapa lagi peralatan dengan teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan semikonduktor akan memerlukan kebenaran daripada kerajaan terlebih dahulu. Ini kerana Belanda melihat penjualan tanpa had teknologi ini akan mendatangkan risiko ke atas sekuriti negara kerana ia boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Mesin NA EUV ASML

Mac tahun lalu, jualan seperti mesin litografi telahpun dikawal Belanda dengan ia memerlukan lesen khas. ASML ialah satu-satunya syarikat di dunia yang menghasilkan mesin litografi terkini yang membolehkan cip 3nm dihasilkan. Bagi mengelakkan rahsia syarikat dicuri, ASML mengesahkan mesin litografi EUV boleh dimatikan dari jarah jauh sehingga tidak lagi boleh digunakan.

Tahun lalu juga ASML dilaporkan menghentikan jualan alat ganti dan bantuan teknikal kepada pembeli mesin teknologi legasi mereka di China. Pada waktu yang sama Belanda juga menapis kemasukan pelajar luar negara yang ingin mengambil jurusan pembangunan cip. Sebagai sekutu Amerika Syarikat, kesemua tindakan Belanda ini dilihat sebagai usaha menyekat China daripada menguasai teknologi semikonduktor.

Komen