Sam Altman baru-baru ini telah mengesahkan yang OpenAI benar-benar sedang membangunkan peranti AI fizikal. Peranti ini mungkin adalah peranti yang dibangunkan bersama oleh Jony Ive dan disahkan tidak akan menyerupai sebuah telefon pintar.

Pada masa yang sama, peranti ini turut akan dijana dengan cip rekaan tersendiri OpenAI. Melalui The Elec, Sam Altman berkongsi yang peranti AI fizikal mereka ini akan memfokuskan penggunaan arahan suara berbanding kawalan tradisional. Kemudian peranti dikatakan sedang dibangunkan dengan kerjasama banyak syarikat teknologi berbeza.

Jika kita lihat di pasaran sekarang, peranti AI fizikal seperti Rabbit R1 dan Human A.I Pin adalah contoh yang gagal. Walau bagaimanapun, peranti seperti kaca mata AI Meta Ray-Ban menjadi rebutan sehingga lebih 1 juta unit berjaya dijual. Jika OpenAI menawarkan peranti fizikal ChatGPT dengan rekabentuk yang unik dan berguna, adakah anda akan membelinya atau akan kekal menggunakan AI di dalam telefon pintar sahaja?