Baru-baru ini, sekali lagi Xiaomi 15 Ultra tertiris. Kali ini ia dikatakan adalah rekaan akhir, di mana Xiaomi mungkin akan menawarkan lebih banyak pilihan warna. Lebih menarik, peranti ini dikatakan mengambil kamera Leica M11 sebagai inspirasi.

Ia dikatakan adalah rekaan akhir, kerana sumber asal yang berkongsi imej telah memadam perkongsian mereka. Berdasarkan imej ini, akan ada 7 warna ditawarkan iaitu hitam, merah jambu, hijau, biru cair, biru gelap, jingga dan ungu. Xiaomi turut menggunakan tema dwi-tona yang menggabungkan kemasan kulit palsu berwarna dan juga kemasan kusam yang mungkin kaca.

Bonggol kamera jelas kelihatan lebih besar dengan susunan sensor kamera berbeza dengan Xiaomi 14 Ultra. Xiaomi 15 Ultra dikatakan akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite, menjalankan HyperOS lengkap dengan ciri AI, menyokong bateri besar dengan pengecasan HyperCharge dan menggunakan sensor 200MP HP9 4.3x zum + 50MP 1″ Sony LYT-900 + 50MP JN5 + 50MP Sony IMX858.
Xiaomi 15 Ultra akan dilancarkan di China pada penghujung Februari. Untuk pelancaran peringkat global, ia dijangkakan akan diperkenalkan bersama siri Xiaomi 15 di MWC Barcelona 2025. Sama-sama kita nantikan.