Ross Young iaitu salah seorang peniris maklumat terkenal baru-baru ini berkongsi sedikit butiran mengenai telefon dengan skrin tri-lipat baharu Samsung. Butiran ini secara tidak langsung terus membuatkan penjenamaan Galaxy G Fold itu masuk akal.

Peranti ini dikatakan akan menggunakan rekaan dan skrin luar mirip Galaxy Z Fold7. Saiz skrin ini adalah 6.49-inci yang dijangka tidak begitu panjang dan mempunyai kelebaran seakan telefon pintar biasa. Kemudian apabila peranti dibuka skrin sebesar hampir 10-inci iaitu 9.96″ boleh digunakan. Konsep lipatan ini bukan seakan huruf S atau Z tetapi adalah G.

Ini bermakna, kesemua skrin peranti apabila dilipat adalah berada di dalam dan tiada skrin yang terdedah seperti Huawei Mate XT. Ini secara tidak langsung menambah keyakinan kepada pengguna serta turut menjadi perlindungan tambahan untuk peranti.
Peranti turut dijangka akan menggunakan spesifikasi peranti mercu dan dijual pada harga lebih mahal. Ia akan dipasarkan sebagai peranti eksperimen dan bukan menjadi peranti mercu dalam kategori baharu. Sama-sama kita nantikan butiran lanjut mengenai peranti ini.