Semalam, telah kami laporkan yang Spotify mungkin akan menawarkan pelan langganan lebih mahal Music Pro. Ia dikatakan akan menawarkan penstriman audio dengan kualiti lebih tinggi, akses awal kepada tiket konsert dan akses kepada kandungan eksklusif oleh UMG dan WMG. Menariknya, Apple juga dilaporkan turut akan meningkatkan harga langganan mereka.

Spotify sendiri pernah berkongsi yang penawaran pelan langganan lebih mereka ditunda adalah disebabkan oleh Apple Music. Apple menawarkan langganan Apple Music tanpa caj tambahan untuk menstrim kandungan audio nirhilang (lossless). Lucas Shaw turut berkongsi dalam laporan beliau di Bloomberg yang Apple juga dilaporkan akan meningkatkan harga langganan Apple Music untuk menjadi lebih mahal. Selain Apple, Amazon Music turut akan melakukan perkara yang sama.
Buat masa ini ia hanya sekadar petanda dan tidak pasti bila Apple akan meningkatkan harga langganan mereka. Kali terakhir harga dinaikkan adalah pada 3 tahun lepas iaitu daripada RM14.90 sebulan menjadi RM16.90. Jika penawaran Spotify Music Pro lebih menarik berbanding harga baharu Apple Music nanti, saya mungkin akan kembali semula ke Spotify. Apa kata anda?