Halangan eksport dan kelengkapan teknologi pembuatan cip yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas China setakat ini tidak menghalang negara tersebut daripada terus mengorak langkah ke hadapan. Tarif tinggi sehingga 25% pula dikenakan minggu lalu untuk menghalang penggunaan cip buatan China dalam produk keluaran tempatan. Terkini Bloomberg melaporkan Amerika Syarikat akan menggesa dua pengeluar terbesar mesin penghasilan cip untuk menghentikan proses penyelenggaraan di China.

Dalam pertemuan dengan wakil Belanda dan Jepun, pentadbiran Presiden Trump ingin ASML dan Tokyo Elektron untuk menghalang kakitangan melakukan proses penyelenggaraan ke atas mesin yang digunakan pelanggan di China. Tanpa penyelenggaraan yang kerap, cip yang dihasilkan tidak akan memenuhi piawaian untuk digunakan. Sebelum ini ASML sekadar menghentikan penjualan alat ganti kepada syarikat di China selepas luputnya lesen bagi memenuhi permintaan pentadbiran Presiden Biden.
Mesin-mesin lama keluaran Tokyo Electron dan ASML diperlukan bagi menghasilkan cip legasi yang diperlukan oleh industri automotif dan peralatan elektronik. Di Amerika Syarikat, 2/3 cip yang digunakan syarikat tempatan untuk kegunaan dua industri in diimport dari China. SMIC dan Huawei pula berjaya mengubahsuai mesin lama untuk menghasilkan cip lebih terkini bagi melangkau sekatan teknologi yang dikenakan sebelum ini.
Selain kekangan penyelenggaraan, Amerika Syarikat juga dipercayai ingin mengetatkan lagi jenis cip NVIDIA yang boleh dieksport ke China. NVIDIA menawarkan cip versi berbeza hanya untuk China dengan kemampuan memproses yang dikurangkan bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan Amerika Syarikat.