Carian
Butang Fizikal Baharu Pada Siri Nothing Phone (3a) Adalah Untuk AI Sepenuhnya
February 28, 2025 Fahim Zahar

Dikemaskini 28/02/2025: Nothing secara rasmi telah berkongsi yang butang fizikal baharu pada siri Nothing Phone (3a) akan mengaktifkan Essential Space. Berdasarkan video acah ini, ia dilihat adalah untuk melakukan tangkapan layar dan menambah nota. Mungkin informasi yang tertiris adalah tepat dan ini adalah jawapan Nothing kepada Pixel Screenshot yang terhad kepada siri Pixel 9.

https://twitter.com/nothing/status/1895051258911756427

Artikel asal, 27/02/2025: Nothing Phone (3) dijangka akan dilancarkan dengan sistem operasi baharu Nothing OS yang memfokuskan AI sepenuhnya. Ia adalah satu sistem operasi ejen AI yang boleh membantu pengguna menggunakan peranti. Namun, untuk tahun 2025 Nothing akan melancarkan siri Phone (3a) terlebih dahulu. Fungsi butang fizikal tambahan baharu pada peranti ini telah tertiris dan ia jelas menunjukkan misi dan visi Nothing.

Butang ini dikatakan adalah Essential Key, namun masih tidak pasti jika nama ini digunakan kerana jenama Essential adalah milik mereka. Butang ini apabila ditekan akan melancarkan aplikasi Essential Space. Essential Space berdasarkan tangkapan layar tertiris adalah satu hab untuk pengguna menguruskan nota, tangkapan layar, rakaman suara dan akan mempunyai ciri AI untuk merumuskan kandungan.

Jika benar ini adalah butang AI untuk memudahkan pengguna melakukan tugasan penting dan produktiviti, kita boleh jangka yang Phone (3) nanti akan mempunyai butang fizikal AI lebih berkuasa. Siri Nothing Phone (3a) akan dijana dengan cip Snapdragon, menggunakan kamera dengan kemampuan zum, direka dengan bahan binaan tahan lasak, dan menggunakan rekaan baharu lebih segar. Ia akan dilancarkan pada 4 Mac akan datang dan akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi kerana sudah melepasi SIRIM.

Komen