Untuk peranti Android, sudah menjadi kebiasaan dalam kategori kelas pertengahan atau harga jualan lebih murah peranti itu akan mempunyai bateri lebih besar berbanding peranti mercu yang lebih mahal. Untuk Apple, perkara sama akhirnya berlaku kerana iPhone 16e mempunyai bateri lebih besar berbanding iPhone 16 Pro.

Dalam video pencipta kandungan teknologi terkenal Dave2D, hos video iaitu Dave Lee berkongsi yang dalam ujian beliau – iPhone 16e dicatatkan dengan bateri berkapasiti 3,961 maAh berbanding iPhone 16 Pro yang hanya 3,582mAh. Bukan itu sahaja, disebabkan iPhone 16e menggunakan cip modem Apple C1 dengan penggunaan kuasa yang lebih baik – ia turut menyumbang kepada ketahanan bateri lebih lama.
Dave Lee berkongsi yang penggunaan Reddit tanpa henti mendapatkan iPhone 16e bertahan sehingga 12 jam 54 minit (hampir 13 jam) berbanding iPhone 16 yang hanya bertahan sekitar 11 jam 17 minit. iPhone 16e juga adalah iPhone paling kecil (skrin 6.1″) pertama dengan bateri yang tahan paling lama.
Namun dengan hanya satu kamera, tiada MagSafe dan harga jualan bermula RM2,999 adakah anda akan membelinya?