Penggunaan media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dari kanak-kanak hingga dewasa. Namun kemajuan teknologi telah menimbulkan pelbagai isu keselamatan pengguna terutama bagi kanak-kanak.

Negara seperti Australia dan Indonesia mula mengambil langkah proaktif dengan memperkemaskan aspek perundangan menghadkan akses platform media sosial kepada pengguna bawah umur khususnya kanak-kanak. Namun begitu, Malaysia masih belum mempunyai perancangan tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan perlunya penelitian mendalam mengenai kesan psikologi dan perbezaan akses maklumat di antara kanak-kanak dan remaja. Hal ini kerana penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya pelajar, biasanya melibatkan tujuan pembelajaran dan mendapatkan maklumat.

Fahmi berkata bahawa pada masa ini, had umur minimum pengguna masih berdasarkan terma dan syarat berserta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform-platform media sosial. Kebanyakannya menetapkan had umur 13 tahun bagi mematuhi peraturan perlindungan data dan keselamatan pengguna seperti yang diikuti oleh banyak negara lain. Beliau juga meminta ibu bapa serta penjaga mengambil tanggungjawab lebih serius dalam memantau aktiviti anak masing-masing.