TikTok Amerika Syarikat Mungkin Akan Menjadi Milik Oracle
Effi Saharudin
Presiden Donald Trump minggu lalu mengatakan terdapat empat kumpulan yang menyatakan hasrat ingin membeli perniagaan TikTok Amerika Syarikat daripada Bytedance. TikTok perlu dijual kepada entiti Amerika Syarikat sekiranya mereka ingin terus beroperasi di negara tersebut. Pagi ini menurut The Information, Oracle ialah syarikat yang dipercayai akan menjadi pemilik baharu TikTok.

Ini adalah kerana CEO Oracle, Larry Ellison ialah teman rapat kepada Trump. Oracle juga menjadi pilihan Bytedance kerana kedua-dua syarikat sudahpun pernah bekerjasama dalam Project Texas yang memindahkan data pengguna Amerika Syarikat ke pelayar milik Oracle pada tahun 2022. Malahan pada tahun 2020, Oracle, Walmart dan Bytedance ialah tiga entiti yang menubuhkan TikTok Global bagi mengelakkan TikTok diharamkan ketika penggal pertama pemerintahan Trump.
Microsoft, Amazon, Perplexity, konsortium yang dianggotai MrBeast dan juga konsortium Kevin O’Leary juga pernah menyatakan hasrat ingin membeli TikTok sejak penghujung 2024. Tetapi kata akhir siapa yang akan menjadi pemilik baharu ialah di tangan Bytedance yang diberikan kebebasan memilih oleh kerajaan China.