Carian
Google dan MediaTek Dilaporkan Akan Bekerjasama Membina Cip AI
March 18, 2025 Effi Saharudin

Google dan MediaTek dilaporkan akan bekerjasama bagi membangunkan cip kecerdasan buatan (AI) Tensor Processing Unit (TPU) yang digunakan oleh Google di pusat data mereka. Menurut laporan The Information, cip TPU pertama hasil kerjasama Google dan MediaTek ini akan dikeluarkan tahun depan. Sebelum ini cip TPU yang digunakan oleh Google dihasilkan oleh Broadcom.

Kerjasama antara kedua-dua syarikat ini pastinya mengejutkan kerana hanya lima tahun lalu, MediaTek masih mempunyai reputasi sebagai pengeluar cip telefon pintar mampu milik yang di belakang Qualcomm, Intel dan Samsung. Tetapi reputasi mereka kini semakin baik lebih-lebih lagi selepas mengeluarkan cip GB10 Grace Blackwell yang digunakan pada superkomputer AI mini NVIDIA Project Digits awal tahun ini.

Syarikat teknologi utama kesemuanya mempunyai projek cip AI masing-masing. Microsoft dengan cip Maia 100 dan Cobalt 100. Amazon pula dengan Trainium2 Dan Graviton4 sementara Meta pula dengan siri cip MTIA mereka. Kesemuanya dibangunkan supaya syarikat tidak akan bergantung sepenuhnya dengan NVIDIA yang memegang 95% pasaran cip AI di penghujung 2024.

Komen