Beberapa hari lalu muncul laporan Apple menerbangkan lima pesawat penuh peranti dari India ke Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif baharu yang diumumkan Trump. Pagi ini Reuters menerbitkan laporan Apple sebenarnya berjaya mengeksport enam pesawat penuh peranti ke Amerika Syarikat dari India.

Pihak Apple berjaya meminta jabatan kastam India untuk memendekkan proses pemeriksaan kargo dieksport dari 30 jam ke 6 jam untuk memastikan produk dihantar keluar sebelum tarif berkuat-kuasa. Pada ketika itu India dikenakan tarif 26% tetapi ini masih lebih rendah berbanding 34% yang dikenakan ke atas China. Menurut anggaran Reuters, setiap pesawat mampu membawa 100 ton kargo dan ini bermakna sehingga 1.5 juta iPhone 14 mungkin diterbangkan.
Ketidakpastian masih lagi berlaku mengenai tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kerana pentadbiran Trump masih belum mengeluarkan dokumen pengesahan lengkap mengenai mekanisme yang akan digunakan. Dengan Tarif berubah dari hari ke sehari, ia hanya menimbulkan kerisauan pelabur dan akibatnya saham syarikat teknologi utama yang meningkat semalam kini kembali tersungkur.