Pada 16 Jun 1963, Valentina Tereshkova menjadi angkasawan wanita pertama di dunia dengan beliau melakukan 48 pusingan orbit sebelum pulang semula ke orbit. Kejayaan Teresehkova membuktikan angkasa lepas bukan ruang eksklusif lelaki tetapi juga wanita. Selepas hampir 62 tahun, lewa malam semalam Blue Origin melakar pula sejarah kejayaan menghantar enam angkasawan wanita ke angkasa lepas.
Menerusi New Shepard Mission NS-31, enam angkasawan yang terdiri daripada penyanyi Katy Perry, pengacara Gail King, Kerianne Flynn, Lauren Sanchez Aisha Bowe, dan Amanda Nguyen berjaya ke angkasa lepas selama 11 minit. Ini melayakkan NS-31 menjadi misi dengan hanya krew wanita pertama sejak kejayaan Valentina Tereshkova.

Ini ialah misi ke-11 Blue Origin yang berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas. Tidak seperti SpaceX, Blue Origin hanya mampu menawarkan pengalaman “melancong” ke angkasa lepas selama beberapa minit sebelum kapsul krew turun semula ke bumi menggunakan payung terjun. Jezz Bezos sendiri menjadi ahli krew pertama berjaya di hantar ke angkasa lepas oleh Blue Origin pada tahun 2021. Dalam misi NS-31, teman wanita beliau Lauren Sanchez pula diberikan penghormatan menjadi krew.
Blue Origin ingin mempopularkan pengalaman melancong ke angkasa lepas bersama dengan Virgin Galactic. Virgin Galactic kini berhadapan gulung tikar kerana kurang mendapat sambutan. Blue Origin pula sudah berjaya menguji roket New Glenn yang boleh membawa kargo dan bakal digunakan untuk melancarkan sistem internet satelit Project Kuiper yang bersaing dengan Starlink.