Tarif Trump yang diumumkan lebih tiga minggu lalu menyebabkan perdagangan dan pasaran saham dunia bergolak. Syarikat teknologi utama dunia kehilangan ratusan bilion dalam nilai pasaran kerana tarif akan meningkatkan kos operasi. Apple yang mengeluarkan majoriti peranti di China antara yang terkesan teruk disebabkan tarif sehingga 145% yang dikenakan. Menurut laporan Financial Times, bagi mengelakkan dikenakan tarif ini, Apple akan memindahkan pengeluaran iPhone untuk pasaran Amerika Syarikat akan dipindahkan ke India.

Sehingga 60 juta iPhone untuk pasaran Amerika Syarikat akan dikeluarkan di India dengan proses pemindahan akan dilakukan sepenuhnya menjelang penghujung 2026. Beberapa minggu yang lalu, Apple dilaporkan menerbangkan 1.5 juta iPhone dari India ke Amerika Syarikat bagi mengelakkan tarif baharu.
Apple mula mengeluarkan iPhone di India beberapa tahun lalu bagi memenuhi keperluan tempatan, menerima insentif Make in India dan juga pengajaran daripada impak pandemik. Presiden Trump masih bertegas pengeluaran perlu dikembalikan semula ke Amerika sekiranya syarikat tidak mahu dikenakan tarif yang tinggi. Tetapi hakikatnya ini tidak dapat dilakukan semalaman kerana Amerika bukan sahaja tidak mempunyai rantaian bekalan untuk membina iPhone, ia juga tidak mempunyai tenaga kerja pakar tempatan.