MyDigital ID Kini Mempunyai Lebih 2.8 Juta Pengguna Berdaftar
Effi Saharudin
Sehingga Jun 2025, MyDigital ID kini mempunyai lebih 2.8 juta pengguna berdaftar menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Zaliha pada sidang pagi Parlimen hari ini. Menurut beliau ini adalah peningkatan daripada 1.8 juta pengguna berdaftar pada suku pertama 2025 dan 1 juta pengguna pada Oktobr 2024. Ia walau bagaimanapun masih jauh di belakang sasaran 15 juta pengguna berdaftar menjelang penghujung 2025 yang disasarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim penghujung tahun lalu.

Setakat ini MyDigital ID telah diintegrasikan dalam 35 aplikasi kerajaan dengan 17 lagi sedang alam proses pelaksanaan sementara 21 lagi dalam proses perbincangan awal. Turut sedang dilakukan ialah integrasi MyDigital ID dalam 6 aplikasi perbankan tempatan yang sedang menjalani proses ujian serta pemantauan Bank Negara Malaysia.
Lebih menarik ialah menjelang penghujung suku ketiga 2025, pengesahan identiti pemilik kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID turut akan dikuatkuasakan. Ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan masalah penipuan atas talian menggunakan talian prabayar dengan mereka menyamar sebagai anggota polis, LHDN, bank dan banyak lagi sehingga ramai yang sudah menjadi mangsa.
Program MyDigital ID bermula sebagai ID Digital Nasional pada tahun 2019. Dalam pelan asal selain digunakan sebagai pengesahan identiti diri ketika melakukan urusan dengan jabatan kerajaan, ia turut akan digunakan dalam platform edagang, pengesahan rekod kesihatan digital dan mengundi secara atas talian.