Bagus Atau Tidak? – Mengundi Secara Atas Talian Di Malaysia

Diterbitkan pada Nov 2, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa minggu sahaja lagi Pilihanraya Umum ke-15 akan diadakan dengan 21.1 juta rakyat Malaysia layak mengundi. Ini adalah peningkatan daripada 12,299,514 pengundi yang layak pada PRU-14. Isu PRU-15 seperti PRU-14 ialah kos untuk pulang ke tempat mengundi. Beberapa minit selepas tarikh mengundi diumumkan oleh SPR, harga tiket kapal terbang ke beberapa destinasi melambung 100% sehingga memaksa MAVCOM mengeluarkan kenyataan mereka akan memantaunya bagi memastikan hak pengguna tidak dicabul syarikat penerbangan.

Ini masih walaupun PRU kali ini berlangsung pad hari Sabtu dan bukan hari Rabu seperti PRU sebelumnya. Dalam dunia semua benda boleh dilakukan secara atas talian khususnya menggunakan aplikasi telefon pintar, semakin banyak suara menyoal mengapa rakyat Malaysia tidak boleh mengundi dengan cara yang sama?

Bagus – Kenapa Kita Perlu Mengundi Secara Atas Talian?

Kerana seperti yang telah kami sebutkan di atas kita sudah dibiasakan melakukan semua benda secara atas talian sekurang-kurangnya sedekad yang lalu. Membayar bil utiliti, memperbaharui insurans kenderaan, membayar saman, membeli belah, melakukan urusan perbankan dan membayar zakat fitrah kesemuanya di hujung jari.

Impian Tun Dr. Mahathir untuk menjadikan Malaysia negara maju nirkertas selepas melancarkan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996 akhirnya menjadi realiti. Melakukan segalanya atas talian sudah menjadi lumrah di Malaysia dengan hanya 6% penduduk berkata mereka tidak pernah melakukan transaksi atas talian dalam kajian yang dilakukan oleh GlobalData baru-baru ini.

Maka untuk mengharapkan proses pembuangan undi juga boleh dilakukan secara atas talian bukanlah permintaan yang tidak masuk akal ataupun melampau. Jika kita percaya dengan keselamatan transaksi atas talian yang melibatkan ribuan ringgit, mengapa kita tidak boleh mempunyai sistem yang selamat untuk menghantar satu undi dari satu rakyat ketika pilihanraya.

Selain teknologi yang matang sudah boleh digunakan, pengundian secara atas talian akan memudahkan pengundi. Tiada lagi isu perlu keluar dari rumah untuk membuang undi. Jika banjir sekalipun, undian masih boleh dilakukan. Halangan kos untuk pulang ke kampung untuk mengundi juga tidak lagi akan berlaku begitu juga dengan isu tiket kapal terbang melonjak naik seperti pucuk yang dilancarkan.

Tidak Bagus – Kenapa Kita Tak Perlu Mengundi Secara Atas Talian?

Walaupun semakin ramai ingin membuang undi secara atas talian, masih terdapat beberapa isu dengan keselamatan sistem. Isu paling utama ialah mengenai keselamatan data peribadi. Bolehkah SPR dan kerajaan Malaysia memastikan keselamatan data 21.1 juta pengundi?

Hacker Pengodam

Malaysia tidak mempunyai reputasi yang baik dalam memastikan keselamatan data peribadi. Julai lalu 22.5 juta data daripada kad pengenalan rakyat Malaysia telah dijual di arena web gelap pada nilai $10 ribu dalam bentuk Bitcoin. Keretenan sekuriti Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dipercayai menjadi sebab data penting ini berjaya dicuri. Kes ketirisan data serius lain yang berlaku tahun ini ialah dari Kiplepay, Malindoair, Carousell, dan iPay88. Maka tidaklah mengejutkan apabila Malaysia “berjaya” disenaraikan di tangga ke-11 negara dengan jumlah kes ketirisan data tertinggi dunia pada Q2 2022.

Dalam semua kes yang dilaporkan ini masih tiada seorangpun dihadapkan ke muka pengadilan atas kelalaian yang menyebabkan ketirisan data yang amat serius. Seakan tiada ada siapa yang peduli termasuk kita sendiri yang bising selama beberapa hari sebelum kembali kepada topik memaki artis, TikTokfemes, Instafemes, Tweetfemes dan ahli politik.

Kita hidup di zaman siber dengan penggodam bukan sahaja ingin mencuri data peribadi tetapi mempengaruhi keputusan pilihanraya. Ini sudahpun berlaku di Amerika Syarikat dan UK dengan kempen berita palsu digunakan oleh Rusia untuk memastikan calon yang terbaik untuk mereka dilantik. Dengan sistem undian atas talian yang tidak benar-benar selamat, keputusan pilihanraya boleh diubah terus pada peringkat sistem dengan undian dipintas tanpa disedari.

Kes kegagalan sistem undi elektronik dapat dilihat ketika Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2018. Kelemahan pada sistem dan mesin undi elektronik menyebabkan proses undian terjejas sehingga ada yang merasakan wujud unsur sabotaj sehingga ahli meminta sistem undian menggunakan kertas dikembalikan semula.

Selagi keselamatan jutaan data peribadi dan undian tidak dapat dipastikan 100% adalah selamat sukar untuk menyokong sistem undian atas talian pada waktu ini di Malaysia.

Melihat Ke Estonia

Untuk melakukan undian atas talian kita perlu melakukan Dasar Pandang ke Estonia. Estonia ialah negara pertama di dunia yang membenarkan undi dibuang secara atas talian untuk pilihanraya tempatan pada tahun 2005. Dua tahun selepas kejayaan program rintis, Estonia sekali lagi menjadi negara pertama membenarkan undian dibuang secara atas talian ketika PRU.

Pada PRU Estonia yang dilakukan pada tahun 2019, 247,232 undi dibuang secara atas talian yang bersamaan dengan 43.8% jumlah undi yang dibuang oleh rakyat Estonia. Ini adalah peningkatan mendadak daripada 176,491 (30.5%) undi yang dibuang secara atas talian ketika PRU 2015.

Undian dilakukan menerus laman web dengan pengesahan identiti menggunakan sistem identiti digital nasional yang diberikan kepada semua rakyat. Rakyat kemudian boleh mengesahkan undian mereka diterima menggunakan aplikasi telefon pintar dengan data telah disulitkan. Menariknya dengan sistem undian atas talian Estonia ialah rakyat boleh mengubah undian mereka sebanyak mungkin dengan hanya undian terakhir akan dikira selepas tempoh mengundi tamat.

Seperkara lagi yang menarik Estonia juga menggunakan sistem kad pengenalan untuk kesemua rakyat yang sama seperti MyKad di Malaysia. Bezanya adalah MyKad Estonia yang diberi nama ID-kaart turut boleh digunakan untuk melakukan pembayaran atas talian. Bolehkah dikatakan ID-kaart ialah MyKad yang digunakan dengan optimum dan menyeluruh tidak di Malaysia yang sekadar melepaskan batok di tangga.

Malaysia Sebenarnya Di Landasan Betul

Sebenarnya kita sudah bersedia kerana mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, tahap penggunaan internet di negara kita ialah 96.8% dengan tahap penggunaan telefon bimbit pula ialah 98.7%.

Kerajaan juga telah mengumumkan akan memperkenalkan Identiti Digital Nasional (IDN) pada awal 2024. Ia akan sah digunakan untuk pengesahan identiti, dan menjadi tandatangan digital. Android dan iOS sudahpun bersedia menyokong kad pengenalan digital dengan sistem keselamatan yang tinggi. Malaysia sebenarnya di landasan yang betul untuk menyokong sistem pengundian atas talian cuma yang perlu dilakukan ialah meyakinkan orang ramai bahawa ia sistem yang boleh dipercayai dan selamat digunakan.

Bersedia ataupun tidak kami di Amanz yakin proses pembuangan undi secara atas talian menggunakan laman web dan aplikasi telefon pintar akan menjadi kenyataan dalam masa satu generasi sahaja lagi. Kami yakin ramai di kalangan pembaca sudah tidak boleh kembali ke dunia wang tunai sahaja, membeli-belah secara fizikal dan menonton TV berjadual.

Kita kini adalah generasi yang semuanya perlu dipermudah. Tanpa halangan kewangan dan pergi ke tempat pembuangan undi secara fizikal, peratusan pembuang undi juga mungkin meningkat. Persoalannya sekarang ialah BILA ia boleh dilakukan bukannya JIKA ia dilakukan.

komen


© Amanz / 2022 Kami