MWC 2017 : Sony Xperia XZ Premium – Peranti Pertama Dengan Paparan Skrin 4K HDR

MWC 2017 : Sony Xperia XZ Premium – Peranti Pertama Dengan Paparan Skrin 4K HDR

Diterbitkan pada Mac 20, 2017 oleh .

Di MWC tahun ini, sebuah peranti yang semestinya mendapat perhatian orang ramai di dewan-dewan Fia Gran Via ialah peranti premium yang akan datang daripada Sony, iaitu peranti Sony Xperia XZ Premium.

Spesifikasi

Sony Xperia XZ Premium
Skrin 5.5″ IPS LCD 2160 x 3840 pixel
Pemproses Qualcomm Snapdragon 835
Cip Grafik Adreno 540
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama  19 Megapixel, OIS, f/2.0
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0
Bateri 3230 mAh (Tidak boleh tanggal)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Bicu Audio Ya

Setelah peranti Xperia Z5 dan Z5 Premium kurang mendapat sambutan ramai, Sony dikatakan mungkin akan mengeluarkan diri daripada pasaran peranti premium. Tetapi dengan peranti XZ Premium ini, Sony bakal kembali dengan sebuah peranti yang kami pasti akan diingini ramai.

Sony Xperia XZ Premium mempunyai paparan skrin bersaiz 5.5 inci, dengan resolusi paparan 4K (2160 x 3840 pixel). Ini bukanlah kali pertama Sony hadir dengan paparan 4K, akan tetapi kali ia juga mempunyai sokongan teknologi HDR yang membenarkan pengguna peranti ini menonton video di dalam format tersebut. Buat masa ini, Sony Xperia XZ Premium ini peranti kedua di MWC yang dilihat mempunyai sokongan HDR selain daripada LG G6, Namun hanya Sony Xperia XZ Premium satu-satunya peranti yang mempunyai paparan dengan resolusi 4K.

Menurut jurucakap Sony di MWC, buat masa ini paparan peranti XZ Premium ini akan berfungsi baik dengan perkhidmatan penstriman video Amazon Video. Netflix juga bakal mempamerkan sokongan untuk penstriman HDR pada peranti mudah-alih tidak lama lagi dan kami pasti bahawa peranti ini juga bakal menyokong penstriman Netflix tanpa sebarang masalah.

Peranti Sony XZ Premium diperkasakan oleh cip pemprosesan terbaru daripada Qualcomm, iaitu Snapdragon 835, RAM sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB, yang boleh ditambahkan lagi dengan penggunaan kad MikroSD.

Penggunaan cip Snapdragon 835 oleh Sony ini agak mengejutkan kerana LG G6, yang diramalkan menggunakan cip pemprosesan tersebut terpaksa menggunakan cip Snapdragon 821 kerana Samsung memborong kesemua cip kelas tertinggi tersebut untuk peranti Samsung Galaxy S8 mereka.

Pada pendapat kami, Sony mampu menunggu untuk beberapa bulan untuk stok Snapdragon 835 baru masuk, kerana mereka masih mempunyai telefon-telefon seperti siri Sony Xperia XA1 dan juga Xperia XZs yang akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Sony Xperia XZ Premium juga mempunyai bateri sebesar 3230mAH. Jika dibandingkan dengan peranti Sony Xperia Z5 Premium, peranti tersebut mempunyai bateri yang sedikit lebih besar dengan kapasiti 3430mAH.

Bagi Sony, ini bukanlah satu masalah yang besar kerana peranti XZ Premium mempunyai sokongan beberapa teknologi bateri dari Qualcomm dan juga Sony sendiri. Ia menggunakan port USB 3.1 Type-C, yang membenarkan telefon ini dicas dengan pantas. Menurut blog Qualcomm, peranti ini masih menggunakan teknologi pengecasan QuickCharge 3.0. Ini adalah sebuah keputusan yang agak aneh kerana cip Snapdragon 835 menyokong teknologi pengecasan pantas QuickCharge 4.0.

Pada masa yang sama peranti ini juga hadir dengan sokongan pengecasan Qnovo yang akan memeriksa pelbagai aspek bateri termasuklah jumlah pengecasan, tekanan dan juga suhu bateri. Salah satu fungsi menarik yang bakal hadir pada peranti ini oleh Qnovo ialah kitaran pengecasan bateri. Qnovo akan mempelajari kitaran tidur anda. Dari data waktu tidur yang dikumpul, bateri akan dicas sehingga 90 peratus. Apabila masa bangun anda semakin hampir, barulah bateri akan dicas sehingga 100 peratus.

Bukan itu sahaja, Sony juga memperkenalkan ciri Smart Stamina yang merupakan penambahbaikan daripada Stamina Mode yang diperkenalkan suatu ketika dahulu. Dengan Smart Stamina, peranti dapat meramalkan hayat bateri berdasarkan tabiat penggunaan peranti anda. Apabila tahap bateri menjadi semakin rendah, Smart Stamina akan mencadangkan anda supaya mengaktifkan Stamina Mode untuk memanjangkan hayat penggunaan peranti.

Dari segi kamera pula, Sony Xperia XZ Premium hadir dengan kamera utama 19MP yang akan menggunakan teknologi kamera Sony yang terbaru iaitu Motion Eye. Teknologi kamera Motion Eye ini secara fizikalnya terdiri daripada Memory Stacked Sensor yang mempercepatkan proses pengambilan gambar dan pada masa yang sama meningkatkan ketajaman imej terhasil.

Teknologi Motion Eye ini mempunyai beberapa ciri-ciri yang menarik, termasuklah Predictive Capture dan Super Slow Motion. Ciri Predictive Capture membolehkan kamera Xperia XZ Premium ini mengambil gambar berdasarkan pergerakan subjek dan ramalan ke mana subjek tersebut akan berada ketika gambar tersebut diambil.

Ciri kedua teknologi kamera Motion Eye ini ialah Super Slow Motion, di mana kamera tersebut boleh merakam video gerak perlahan sehingga 960FPS. Ini adalah empat kali lebih perlahan berbanding rakaman video gerak perlahan pada peranti-peranti yang lain.

Bagi mereka yang menitikberatkan spesifikasi kamera depan untuk tujuan berselfie, kamera 13MP dengan lensa 22mm yang bersudut lebar khas disertakan untuk tujuan tersebut.

Rekabentuk

Pada pendapat kami, rekabentuk peranti Sony Xperia XZ Premium ini adalah seperti gabungan Sony Xperia Z5 Premium dan Xiaomi Mi Mix. Saiz binaan peranti ini adalah agak besar tetapi pada pendapat kami, masih selesa dipegang dan digunakan dengan sebelah tangan. Akan tetapi ia agak licin dan anda mungkin perlu membeli sebuah kerangka untuk peranti ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Seperti majoriti peranti utama yang lain, kerangka Xperia XZ Premium ini diperbuat daripada logam dengan panel belakang diperbuat daripada kaca. Ini memberikan peranti XZ Premium kemasan yang sangat cantik, tetapi seperti yang kami jelaskan tadi ia menjadikannya tersangat licin. Penggunaan kaca ini juga bermakna cap jari anda sangat mudah ditinggalkan pada permukaan kaca.

Seperti peranti-peranti premium siri Xperia sebelum ini, Xperia XZ Premium ini juga mempunyai butang kamera khas. Aplikasi kamera dapat dilancarkan dengan pantas dengan menekan butang pada sisi kanan peranti ini. Butang kuasa peranti ini pula dilengkapi pengimbas cap jari, yang boleh digunakan untuk mengaktifkan telefon. Sony Xperia XZ Premium ialah sebilangan kecil peranti yang dilengkapi pengimbas jari pada sisi peranti.

Jika anda jenis gemar melakukan aktiviti di luaran, telefon XZ Premium ini melepasi piawaian kalis air serta debu IP68. Sungguhpun begitu kami tidak akan mengesyorkan anda terlalu gah melakukan aktiviti di luar, kerana kami pasti jika peranti ini terjatuh, hati anda akan retak seribu sepertimana retaknya panel kaca yang digunakan.

Antaramuka

Sayang sekali sewaktu kami membelek peranti Sony Xperia XZ Premium di reruai Sony, peranti demo yang diberikan kepada kami (dan kami syak peranti-peranti demo yang lain juga sama) tidak mempunyai paparan skrin yang berfungsi dengan baik.

Setiap kali kami cuba mengaktifkan paparan tersebut, ia akan mengeluarkan mesej ralat dan ini menyebabkan kami tidak boleh menunjukkan gambar paparan antaramuka paparan dan ciri-ciri baru yang bakal ditunjukkan oleh Sony dengan peranti ini.

Kesimpulan

Di atas kertas Sony Xperia XZ Premium adalah peranti yang terpantas dan paling berkuasa yang diumumkan di Mobile World Congress tahun ini. Daripada spesifikasi dalamannya yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 835 yang terbaru, teknologi kamera Motion Eye, dan juga rekabentuknya yang anggun semestinya akan menarik minat ramai pengguna untuk memiliki peranti ini.

Tetapi realitinya jika peranti ini dijual di pasaran tempatan, kita mungkin perlu menunggu sehingga ke pertengahan tahun, kerana pihak Sony masih perlu menunggu stok cip pemprosesan Snapdragon 835 terlebih dahulu.

Apa-apa pun, mungkin kita boleh mendapatkan berita tentang kemasukan peranti tersebut di Malaysia apabila Sony mengumumkan peranti Xperia XA1 dan XZs untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

TIPS & ULASAN