Cari @ Amanz

Kitty Hawk ialah syarikat penghasil kenderaan terbang yang disokong oleh pengasas Google Larry Page. Tahun lalu mereka menunjukkan prototaip pertama Flyer yang hanya mampu membawa seorang juruterbang. Semalam prototaip untuk teksi terbang Cora mereka pula diperlihatkan untuk julung kali.

Seperti teksi-teksi terbang lain yang sedang dibangunkan, Cora mampu terbang secara menegak. Terdapat enam pasang kipas pada sayap yang memberikan tujahan ke bawah. Apabila mencapai tahap ketinggian yang dikehendaki, sebuah kipas penolak pada bahagian buritan akan mengambil alih tugas menerbangkan pesawat.

Dua orang penumpang boleh dibawa oleh teksi swaterbang elektrik ini. Ia mampu terbang pada ketinggian maksimum 3000 kaki dengan jarak operasi 100 kilometer dengan sekali caj dan kelajuan maksimum 180 kmj. Tidak seperti Ehang dan Volocopter, Cora mempunyai sayap yang membolehkannya terbang meluncur tanpa kuasa sekiranya berlaku masalah pada motor elektrik yang digunakan.

Sekiranya segalanya berjalan lancar, Cora akan memulakan operasi secara komersial pada tahun 2021. Dunia kenderaan terbang untuk kegunaan massal yang dahulunya dianggap fiksyen sains kini semakin hampir menjadi realiti. Seperti kata Doc Brown, “kemana kita akan pergi, kita tidak memerlukan jalan raya”.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd