Cari @ Amanz

Ada yang mungkin mengatakan saya berat sebelah tetapi secara peribadi saya merasakan jam tangan pintar Tizen keluaran Samsung ialah yang terbaik untuk peranti Android. Ia menggabungkan rekaan agresif yang mirip jam tangan mewah dengan sistem navigasi paling mudah digunakan pada jam tangan pintar. Ini dibantu lagi dengan ketahanan bateri yang semakin baik selepas pengenalan sistem operasi Tizen 3 tahun lalu.

Tahun lalu Galaxy Watch dilancarkan sebagai model kemas kini kepada Gear Sport. Penggunaan nama Galaxy di sini sedikit aneh kerana sebelum ini ia hanya ditemui pada produk yang menggunakan sistem operasi Android. Galaxy Watch sebenarnya menggunakan sistem operasi Tizen 4 terkini. Ulasan ini cuba menjawab persoalan sama ada Galaxy Watch 42mm masih lagi berbaloi dimiliki di tahun 2019.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Watch 46mm/42mm
Skrin 1.3″ /1.2″ SAMOLED 360×360 Pixel
Pemproses 1.15 GHz Dua Teras Exynos 9110
RAM 1.5GB (LTE) /768 Megabyte (Bluetooth)
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Bateri 472/270 mAh (Pengecasan Tanpa Wayar)
SIM/Telefoni e-SIM/ Panggilan Melalui Tambatan Bluetooth
Sensor Pengimbas Nadi, A-GPS, Barometer,
Girometer,Accelerometer
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Tahap Ketahanan IP68/ 5 ATM/ MIL STD-810G

Dengan Samsung Galaxy Watch 42mm, penggunaan skrin bulat 1.2″ SAMOLED kembali dengan resolusi 360×360 pixel. Ini ialah saiz skrin yang sama seperti yang digunakan pada Gear Watch yang dilancarkan pada tahun 2017, tetapi lebih kecil berbanding 1.3″ SAMOLED digunakan pada Galaxy Gear S3. Bagi mereka yang mencari jam tangan pintar Tizen dengan skrin yang lebih besar,  terdapat model Galaxy Watch 46mm yang menawarkan saiz skrin 1.3″ yang sama.

Model yang kami ulas ialah model 42mm yang pada hemat kami kelihatan terlalu kecil pada lengan kami amat jantan. Tambahan lagi kami sudah menggunakan Gear S3 sejak hampir tiga tahun yang lalu dan saiz yang lebih kecil ini membuatkan kami terasa agak canggung.

Pada kedua-dua model, Gorilla Glass DX+ digunakan bagi memastikan jam tangan mampu menahan hentakan. Ini ialah kaca Gorilla generasi terbaru yang khusus untuk kegunaan jam tangan pintar.

Kedua-dua skrin masih menyokong sistem Always On Display. Skrin akan menjadi sedikit malap apabila ia aktif tetapi masih menunjukkan muka jam. Ia boleh dipadamkan sekiranya pengguna ingin hayat penggunaan Galaxy Watch yang lebih panjang.

Pemproses Exynos 9110 kali ini menggantikan Exynos 3250 yang digunakan Gear Sport tahun lalu. Ia masih lagi dilengkapi dua teras tetapi pada kelajuan 1.15 GHz. Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 786 Megabyte RAM. Storan pada kedua-dua model adalah sama iaitu 4GB sahaja. Bateri pada model 46mm adalah sebesar 472 mAh manakala pada model 42mm pula ialah 270 mAh. Ini menjadikan model Galaxy Watch 46mm, jam tangan pintar Samsung dengan kapasiti bateri yang paling besar pernah dihasilkan. Samsung menjanjikan hayat bateri sehingga lima hari dengan sekali caj pada Galaxy Watch 46mm. Ini adalah dua hari lebih lama berbanding Gear Sport dan Gear S3.

Pengecasan dilakukan menggunakan sistem nirwayar yang menggunakan format Qi. Namun begitu kami menyedari Galaxy Watch tidak boleh dicas menggunakan sebarang pengecas nirwayar di pasaran. Hanya pengecas Samsung Wireless Charger Duo menyokong pengecasan Galaxy Watch dan sebuah jam tangan pintar secara serentak. Itupun dengan dermaga pengecasan berbeza untuk kedua-dua peranti. Ini adalah mengecewakan kerana format Qi kini digunakan secara meluas tetapi pengecasan hanya boleh dilakukan pada pengecas Samsung.

Sistem NFC untuk pembayaran Samsung Pay, A-GPS, Glonass, barometer, girometer, accelerometer dan pengimbas nadi optikal pada bahagian belakang turut disertakan. Dari segi sambungan pula ia menyokong bluetooth 4.2 serta Wi-Fi b/g/n bagi membolehkannya menjadi alat kawalan peranti berhubung menerusi Samsung SmartThings.

Seperti yang berlaku pada Gear Sport, penambahbaikan pada spesifikasi adalah kecil dan tidak drastik. Selepas lima tahun menghasilkan jam tangan pintar (Galaxy Gear 2013), Samsung menyedari jam tangan pintar tidak perlu diberikan pemproses berkuasa kerana tidak seperti telefon pintar, ketahanan bateri adalah lebih penting.

Rekabentuk

Jika Galaxy Note 9 mengitar semula rekaan Galaxy Note 8, Galaxy Watch sebenarnya mengitar semula rekaan Gear S3 Frontier dan S3 Classic. Ikhlas kami katakan rekaan lebih ranggi ini lebih menarik jika dibandingkan dengan Gear Watch. Ia membuatkan Galaxy Watch kelihatan lebih kontemporari dan sesuai digunakan di tempat kerja. Imej profesional yang kemas terpancar pada rekaannya.

Perbezaan terletak pada rekaan bezel berputar yang kurang bergerigi dan sensor pengimbas nadi yang kini disusun dalam konfigurasi huruf X.

Pada sisi kanan terdapat dua butang navigasi back dan home berbentuk kotak dengan tekstur yang kasar. Perbezaan tampak ini memudahkan jari membezakan butang dengan tubuh stainless steel yang licin. Bezel berputar untuk melakukan navigasi masih lagi digunakan dan mempunyai binaan yang teguh. Apabila diputarkan ia bergetar sekaligus memberikan timbal balas haptik yang

Tubuh Galaxy Watch 46mm berwarna perak dengan bezel berwarna hitam. Galaxy Watch 42mm pula hadir dalam pilihan hitam ataupun emas merah jambu. Model yang kami ulas mempunyai tubuh berwarna hitam pusam. Ia tidak terlalu menarik perhatian sesuai dengan jiwa kami serta tidak juga mudah mengumpul kotoran minyak apabila disentuh.

Tali jam yang berwarna hitam yang disertakan adalah diperbuat daripada silikon. Bahan ini dari pengalaman peribadi tidak mendatangkan kerengsaan pada pengguna yang mempunyai kulit yang sensitif. Ini membuatkannya selesa dipakai walaupun ketika melakukan aktiviti sukan.

Jika warna hitam yang ditawarkan tidak menarik bagi anda, Samsung menawarkan pilihan tali dalam tujuh warna lain seperti merah, kuning, kelabu dan ungu. Jika pilihan yang diberikan masih tidak menarik bagi anda, sebarang tali jam biasa sebesar 42-46mm boleh digunakan tanpa masalah kerana penggunaan cangkuk yang standard.

Kesemua komponen-komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh jam yang melepasi piawaian IP68,  MIL STD-810G dan tekanan sehingga 5 atmosfera. Dengan kata lain ia boleh dibawa berenang dan melakukan aktiviti lasak ketika masa senggang.

Antaramuka

Sistem operasi Tizen Wearable 4.0 digunakan dan merupakan versi yang paling terkini. Ini ialah sistem operasi terkini yang baru sahaja diterima pengguna Gear Sport dan Gear S3 minggu ini. Tiada perubahan antaramuka yang drastik dilakukan jika dibandingkan dengan Tizen 3 sebelum ini. Satu butang fizikal apabila ditekan akan melancarkan roda aplikasi. Aplikasi kemudian dipilih dengan menggerakkan roda bezel pada muka jam. Sebuah lagi butang digunakan untuk kembali ke menu asal dan sebuah lagi untuk terus ke muka hadapan. Ini ialah sistem navigasi yang diperkenalkan menerusi Gear S2 dan mendapat pujian kerana ianya intuitif untuk digunakan. Pepatah Inggeris ada mengatakan, jika ia tidak rosak ia tidak perlu dibaiki.

Dari muka utama, notifikasi boleh dibaca dengan memutar bezel secara lawan jam. Putaran secara arah jam pula akan memberikan akses kepada beberapa widget seperti kawalan pemain muzik, peranti berhubung, penjejak kesihatan dan banyak lagi. Pengguna bebas meletakkan widget yang dimahukan serta menyusunnya mengikut pilihan peribadi.

Kembali ke muka utama, jika tatalan ke bawah dilakukan ia akan memberikan akses kepada pintar pintas seperti pada sebuah peranti Android. Dari sini pengguna boleh memilih mod penjimatan bateri, mengubah keterangan skrin, mengubah kekuatan deringan panggilan telefon, status tambatan bluetooth dan banyak lagi. Antaramuka sistem operasi Tizen 4 ini mudah difahami dan dipelajari. Paling penting kesemua elemen mudah dibaca walaupun pada skrin yang yang kecil.

Jam tangan pintar ini boleh digunakan pada peranti yang menggunakan Android 5.0 dan iOS 9. Kami tidak sempat menambat jam Galaxy Watch ke peranti kami ketika di majlis pelancaran, maka kami tidak boleh melihat perubahan pada sistem notifikasi. Apa yang boleh kami katakan sejak Tizen 3, jam tangan pintar keluaran Samsung tidak lagi mempunyai sela masa notifikasi ataupun masalah apabila ditambat kepada peranti Android dan iOS.

Pilihan aplikasi masih lagi seperti dahulu cuma kini terdapat integrasi yang lebih mendalam dengan Spotify serta Samsung SmartThings. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, Galaxy Gear boleh digunakan untuk mengawal peranti berhubung seperti lampu, peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan sistem audio yang menyokong platform peranti berhubung Samsung.

Samsung berkata ini terdapat lebih daripada 60,000 muka jam ditawarkan menerusi Galaxy App. Pada Galaxy Watch sebuah muka jam baharu diperlihatkan dan ia menyokong paparan agenda harian terus pada muka jam.

Integrasi penjejak kesihatan pula mengesan aktiviti sukan yang dilakukan secara automatik dan memberikan galakan kepada pengguna. Terdapat juga mod jurulatih maya seperti yang diperkenalkan menerusi Gear Sport tahun lalu.

Penggunaan Pada Android Dan iOS

Galaxy Watch boleh digunakan pada kesemua peranti Android dan iOS asalkan ia menggunakan sekurang-kurangnya sistem operasi  Android 5.0 atau iOS 9.0. Sungguhpun begitu tambatan paling pantas dan mudah adalah menerusi peranti Samsung. Kami katakan pantas dan mudah kerana tiada keperluan memuat turun multi-aplikasi dan pemalam untuk membolehkan keseluruhan fungsi digunakan tanpa masalah.

Kawalan dilakukan menerusi aplikasi Galaxy Wearable (dahulu dikenali sebagai Galaxy Gear). Aplikasi akan mengesan kehadiran Galaxy Watch sebelum beberapa tetapan dilakukan dalam masa beberapa minit. Proses pada peranti iOS mengambil masa yang lebih lama. Fungsi asas memaparkan notifikasi, deringan telefon dan menjawab panggilan dapat dilakukan dengan baik.

Kami hanya sempat mengujinya dengan peranti iPhone X, Galaxy Note 9, Galaxy S9, HTC U11 dan Huawei P20 Pro. Senarai lengkap peranti yang disokong sepenuhnya boleh dilihat di laman rasmi Samsung, Adalah lebih mudah mengakses multi-fungsi pada platform Android. Kami sedari aplikasi iOS adalah sedikit perlahan dan melecehkan.

Untuk sekian kalinya kami katakan sistem kawalan bezel berputar pada jam tangan pintar Samsung adalah paling kami gemari. Amat mudah mengakses menu dan bergerak antara widget menggunakan bezel berbanding menyentuh skrin yang kemudiannya akan kotor kerana minyak pada jari.

Sistem operasi Tizen 4 yang digunakan juga lancar serta stabil. Tidak sekalipun kami menghadapi masalah Galaxy Watch gagal berfungsi. Dengan setiap versi baharu, Samsung menambah fungsi tanpa membuatkan peranti terasa semakin berat.

Fungsi pemain MP3 yang disertakan juga memuaskan. Kami menambat Galaxy Gear kepada beberapa fon kepala bluetooth yang wujud di pejabat dan audio yang dihasilkan adalah cukup baik. Sokongan Spotify Offline disertakan dan ini memudahkan proses memasang lagu kegemaran ke dalam storan dalaman Galaxy Watch. Sungguhpun begitu dengan hanya storan sebesar 4GB ini bukanlah saiz yang besar. Tambahan lagi proses log masuk akaun Spotify menggunakan papan kekunci mikro pada skrin kecil Galaxy Watch adalah memedihkan.

Bateri

Bateri pada model 42mm hanya sebesar 270 mAh dan adalah agak kecil. Pada penggunaan biasa Galaxy Watch mampu bertahan sehingga empat hari. Tetapi apabila kami mengaktifkan sistem pengecasan nadi berterusan ia terpotong separuh. Masalah pada jam tangan pintar masih lagi terletak pada bateri yang harus kerap dicas.

Tambah mengecewakan pengecasan pantas masih tidak disokong dan pengguna perlu menanti hampir tiga jam untuk bateri dicas sepenuhnya. Ketika di dalam dermaga, muka jam akan berputar bagi membolehkan Galaxy Watch berfungsi sebagai sebuah jam meja. Secara keseluruhan hayat bateri Galaxy Watch adalah baik bagi sebuah jam tangan pintar tetapi masih jauh di belakang kemampuan sebuah penjejak kesihatan.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Watch ialah model kemas kini dengan beberapa penambahan kecil dari segi fungsi dan ketahanan bateri. Dari segi spesifikasi dalaman, ia bukanlah perubahan yang besar kerana hanya dilakukan pada pemproses dan saiz bateri. Bagi mereka yang mencari jam tangan pintar yang boleh digunakan pada peranti Android dan iOS, Galaxy Watch ialah pilihan yang menarik. Pelbagai fungsi yang disertakan amat membantu mengurangkan pergantungan kepada skrin telefon pintar.

Bagaimana pula jika anda seorang pengguna Galaxy Sport atau Gear S3? Jawapannya ialah tiada keperluan untuk membeli model terbaru ini. Kemas kini ke Tizen 4 sudah mula diterima pengguna di Amerika Syarikat yang membawakan fungsi Galaxy Watch ke jam yang sudahpun anda miliki. Jika perlu juga membelinya, kami sarankan model 46mm kerana ia kelihatan lebih segak, profesional dan ranggi.

Di Malaysia Galaxy Watch dijual pada harga RM1299 seutas. Ini ialah harga yang setaraf dengan sebuah telefon pintar kelas pertengahan di pasaran sekarang. Namun begitu jika sebuah jam tangan pintar yang bergaya, multi-fungsi dan mempunyai ketahanan bateri yang baik diperlukan anda, Galaxy Watch ialah peranti yang kami sarankan.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang menarik, kemas dan profesional.
  • Skrin AMOLED senang dibaca di bawah sinar matahari terang.
  • Hayat bateri sehingga tiga hari.
  • Sokongan GPS, borometer dan accelerometer.
  • Mengesan aktiviti sukan secara automatik.
  • Kalis air IP68 dengan tahan lasak MIL-STD-810G boleh dibawa berenang,
  • Boleh digunakan pada peranti Android dan iOS,
  • Sokongan multi-fungsi dengan sistem navigasi mesra pengguna.
  • Rekaan tali yang kurang menarik pada versi 42mm.
  • Tidak membawakan inovasi yang besar berbanding model-model terdahulu.
  • Tidak boleh dicas pada majoriti pengecas nirwayar Qi pihak ketiga.
  • Harga yang agak kurang mampu milik.
  • Menambatnya pada peranti Android selain Samsung Galaxy dan iOS sedikit leceh pada awalnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd