Realme 3 Dilancarkan Di Malaysia – Helio P60, Bateri 4230 mAh, Dijual Bermula RM599

Realme 3 Dilancarkan Di Malaysia – Helio P60, Bateri 4230 mAh, Dijual Bermula RM599

Diterbitkan pada Mac 21, 2019 oleh .

Pada akhir-akhir ini, banyak pengeluar telah mula menawarkan peranti kelas pertengahan mereka. Samsung telah hadir dengan siri Galaxy A dan Galaxy M20, manakala Xiaomi telah membawakan siri Redmi Note 7 dan Redmi 7 ke pasaran tempatan. Pada hari ini, sebuah lagi telefon telah dilancarkan di Malaysia, iaitu Realme 3 dengan penawaran spesifikasi yang lebih berkuasa.

Realme 3 boleh dikatakan ia direka bagi pengguna yang mengutamakan peranti yang seimbang pada harga di bawah RM800. Ia membawakan paparan IPS LCD sebesar 6.22-inci HD+, bersama penyertaan takuk seumpama titisan air. Ia juga dijana dengan cip lapan-teras MediaTek Helio P60, pilihan memori 3GB/4GB RAM, dan mempunyai pilihan storan 32GB/64GB yang boleh ditingkatkan melalui kad mikroSD.

Realme 3

Untuk keupayaan penggambaran, ia membawakan sistem dwi-kamera utama, melalui penggunaan sensor 13MP f/1.8 + 2MP untuk kebolehan bokeh. Ia turut disertakan dengan fungsi Nightscape yang membolehkan pengguna menikmati penggambaran malam yang lebih menawan. Kamera hadapannya pula hadir dengan sensor 13MP f/2.0 dengan fungsi beautify untuk kebolehan pencantikkan wajah.

Apa yang menarik pada peranti ini, ia membawakan ketahanan bateri yang lama melalui kapasiti 4230 mAh. Untuk sokongan pengecasan, ia menyokong sambungan mikroUSB dan boleh dicas melalui pengecas 10W yang disertakan bersama.

Berbeza dengan model sebelum ini, ia telah menjalankan antaramuka Color OS 6.0 yang dibina bersama sistem operasi Android 9.0 Pie. Ia membawa tampilan yang lebih kemas dan moden, disamping membolehkan pengguna menikmati sejumlah fungsi daripada Android Pie ini. Color OS 6 juga telah membawa sebanyak 20 penambahbaikan pada sistem, dalam membolehkan peranti beroperasi dengan lebih pantas.

Untuk pasaran tempatan, Realme 3 telah disenaraikan pada harga RM599 untuk variasi 3GB RAM + 32GB dan RM699 untuk 4GB RAM + 64GB. Ia boleh didapati melalui Lazada bermula 27 Mac ini dan melalui pengedar-pengedar rasmi Realme Malaysia bermula 6 April. Untuk tempoh terhad, Realme turut menawarkan Realme 3 serendah RM549 (untuk variasi 3GB RAM + 32GB), melalui jualan khas Lazada yang berlangsung pada 27 Mac.


TIPS & ULASAN