Xiaomi Mimoji adalah fungsi mencipta avatar 3D daripada Xiaomi. Fungsi ini boleh dikatakan adalah klon daripada Memoji dari Apple. Pertama kali Mimoji diperkenalkan adalah pada peranti Xiaomi Mi 8, yang mana kemudiannya boleh diuji kepada hampir semua peranti Android.
Banyak isu yang hadir sejak siri Xiaomi CC diperkenalkan berkait dengan Mimoji dan Apple. Sehinggakan terdapat laporan yang Xiaomi ingin mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduh Mimoji adalah klon kepada produk Apple. Terkini, Xiaomi secara tidak sengaja menggunakan iklan Apple untuk mempromosikan Mimoji.
Perkara ini ditemui oleh pengguna Weibo Lukalio Luka, yang mana iklan-iklan di laman membeli-belah JD, Suning dan juga grafik rasmi Xiaomi Mimoji – menggunakan iklan Apple termasuk video muzik ‘Talk‘ yang dinyanyikan oleh Khalid dalam bentuk Memoji. Menurut wakil Xiaomi – Xu Jieyun, pekerja Xiaomi secara tidak sengaja memuat naik fail media yang salah.
Akan tetapi, ini bukannya kali pertama Xiaomi atau pengeluar peranti Android meniru hasil kerja Apple. Cuma pada saya, dengan menggunakan iklan Apple dan bukannya iklan sendiri agak melampau. Apakah pendapat anda?