Sukan Olimpik 2020 Kemungkinan Besar Akan Ditangguh

Sukan Olimpik 2020 Kemungkinan Besar Akan Ditangguh

Diterbitkan pada Mac 23, 2020 oleh .

Sejak wabak Covid-10 merebak ke seluruh dunia, pelbagai acara besar seperti MWC, Google I/O dan liga-liga bola sepak dunia telah dibatalkan atas sebab keselamatan. Temasya Sukan Olimpik ialah antara yang masih tidak diketahui masa depannya kerana masih sedang dibincangkan oleh IOC. Tetapi hari ini terdapat petanda besar ia akan turut ditangguhkan,

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe hari ini memberitahu parlimen penangguhan acara ini mungkin tidak lagi dapat dielakkan. Pada asalnya temasya akan bermula 24 Julai tetapiĀ  berdasarkan ramalan WHO, wabak masih tidak akan dapat dikawal sepenuhnya walaupun empat bulan dari sekarang.

IOC juga mengeluarkan kenyataan acara mungkin akan ditangguh tetapi kata putus masih belum diputuskan oleh lembaga pengarah penganjuran. Mereka menolak kemungkinan ia akan dibatalkan terus.

Antara pelan yang mungkin dilakukan ialah menangguhkan tarikh permulaan atau menjadualkannya semula ke tahun 2021 seperti Piala Eropah. Pada waktu yang sama acara yang dianjurkan mungkin akan dilakukan pada skala yang lebih kecil.

Olimpik 2020 sepatutnya menjadi acara sukan yang paling berteknologi tinggi pernah dianjurkan. Teknologi terkini 5G, penstriman kandungan pada resolusi 8K, penggunaan teknologi swapandu, kenderaan elektrik. robot yang membantu atlet, dan pingat yang dikitar semula dari bahan elektronik terpakai adalah antara yang dirancang.



TIPS & ULASAN