Oppo FreeVOOC Yang Mengecas Secara Nirsentuh Ialah Jenaka April Fool Tetapi Teknologi Ini Sebenarnya Wujud

Oppo FreeVOOC Yang Mengecas Secara Nirsentuh Ialah Jenaka April Fool Tetapi Teknologi Ini Sebenarnya Wujud

Diterbitkan pada Apr 1, 2020 oleh .

Hari ini Oppo berkongsi video acah sistem pengecasan FreeVOOC yang boleh mengecas peranti baharu Oppo Ace Infinity secara nirwayar dan nirsentuh sehingga jarak 10 meter. Ia sebenarnya adalah jenaka April Fool yang berjaya memperdayakan beberapa portal teknologi hari ini. FreeVOOC mungkin tidak wujud tetapi tahukah anda teknologi pengecasan nirwayar dan nirsentuh ini sudahpun wujud sejak 2014?

Pada tahun 2014, Energous memperlihatkan teknologi WattUp mereka yang boleh mengecas peranti secara jarak jauh menggunakan “router kuasa”. Untuk menikmati pengecasan dari udara ini, telefon pintar perlu dilengkapi kerangka khas yang mengambil tenaga elektrik dari isyarat frekuensi radio. Energous dilaporkan menerima pelaburan dari Apple tetapi sehingga kini teknologi WattUp masih belum muncul di dunia sebenar. Tahun lalu Vivo pula mengumumkan kerjasama dengan Energous untuk menggunakan teknologi yang sama.

Teknologi membekalkan kuasa kepada peranti secara nirwayar secara jarak jauh ini sebenarnya bukanlah baharu tetapi telah diperlihatkan oleh Nicola Tesla pada penghujung kurun ke 19. Tesla berjaya membuktikan teori beliau pada 1891 dan pada tahun 1896 beberapa biji mentol berjaya dinyalakan dengan menggunakan aruhan gegelung dari jarak 48 kilometer dari sumber elektrik

Tesla percaya penggunaan tenaga elektrik secara nirwayar ialah masa depan dunia dan membolehkan pelbagai peralatan mendapat kuasa tanpa perlu disambungkan kepada palam. Untuk membuktikan kebolehgunaan teknologi ini, Menara Wardenclyffe dibina pada tahun 1901 tetapi ia tidak pernah disiapkan kerana masalah kewangan.

Selain Energous, Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST)  turut telah memperlihatkan teknologi Wi-Power. Ia boleh membekalkan kuasa kepada 40 peralatan elektrik di dalam sebuah bilik tanpa sambungan palam kuasa. Sementara itu pada tahun 2018, bateri Cota Forever Battery diumumkan juga menggunakan frekuensi radio.

Masalah setakat ini ialah pengecasan nirwayar dan nirsentuh ini adalah perlahan jika dibandingkan dengan sistem pengecasan semasa. Sebagai contoh Huawei telah menyokong pengecasan nirwayar 40W pada P40 Pro+.

Pada waktu yang sama sistem pengecasan ini mempunyai tahap kecekapan penggunaan tenaga yang rendah. Dengan dunia yang semakin ke arah hijau dan penjimatan tenaga, sistem pengecas yang tidak efisien adalah tidak diperlukan. Tambahan lagi sistem pengecasan ini memerlukan gegelung khas yang akan menambah ketebalan peranti.

Jadi adalah kita mungkin akan dapat melihat FreeVOOC menjadi realiti di masa hadapan? Saya katakan kemungkinan besar ia akan berlaku kerana Vivo dan Oppo adalah syarikat yang berada di bawah payung BBK Electronics dan tidak mustahil teknologi WattUp digunakan pada FreeVOOC.



TIPS & ULASAN