Pandang Pertama Samsung Sero – Televisyen Mesra Telefon Pintar Pertama Dunia

Pandang Pertama Samsung Sero – Televisyen Mesra Telefon Pintar Pertama Dunia

Diterbitkan pada Sep 11, 2020 oleh .

John Logie Baird mencipta televisyen pada tahun 1927 menggunakan sistem cakera mekanikal berputar. Televisyen dengan skrin nipis CRT kemudiannya dicipta pada dekad 60an tetapi tidak digunakan secara meluas hinggalah Sony dan Sharp melancarkannya secara meluas pada tahun 1997. Pada waktu tersebut televisyen dengan skrin sebesar 42″ ini dijual pada harga $15,000.

Selepas hampir seratus tahun dicipta, televisyen masih digunakan secara meluas dengan saiznya kini mencecah ratusan inci seperti The Wall yang dipasarkan oleh Samsung. Kesemua televisyen ini walau bagaimanapun dicipta untuk ditonton di ruang tamu. Dengan penggunaan telefon pintar kini menjadi norma harian, televisyen perlu berevolusi untuk memenuhi kehendak pengguna.

Samsung lantas mencipta kategori baharu untuk televisyen yang direka untuk digunakan dengan telefon pintar. Versi pertama televisyen ini ialah Samsung Sero yang telahpun memasuki pasaran Malaysia sejak April lalu.

Kacang Ginjal Yang Aneh

Samsung Sero QLED 4K Smart Lifestyle TV
Skrin43″ QLED 4K UHD, HDR10+
Sistem OperasiTizen
Pembantu MayaBixby
Audio4.1 Dolby Digital Plus 60W
I/03 x HDMI
2 x USB
1 x antena RF
Sambungan InternetWiFi 5
BluetoothBluetooth 4.2
Sokongan PancaranSmartThings
Apple AirPlay 2
Wireless DeX
NFCTiada
Dekoder TV DigitalYa / DVB-T2
G-SYNC/FreesyncTiada / Tiada
Saiz564.7 x 1200 x 327 mm
Berat33.3 kg
Harga JualanRM 6999

Ciri paling unik Sero ialah skrin yang boleh berputar 90 darjah ke kedudukan menegak. Pada posisi menegak ini, kandungan yang dipancarkan dari peranti pintar boleh ditonton pada orientasi yang sebaiknya. Dengan kata lain video TikTok, Instagram Live dan Snapchat kini boleh ditonton pada skrin yang lebih besar.

Kami diberikan akses menggunakan Sero selama beberapa jam minggu ini bersama dengan Serif dan Frame. Tiga-tiga model ini dimasukkan ke dalam siri Lifestyle sebagai pengelasan TV di antara siri premium QLED 8K dan siri LED biasa Samsung.

Di antara ketiga-tiga televisyen pintar ini, Sero yang paling menarik minat kami kerana keunikannya. Ia bukan sahaja boleh berputar tetapi turut hadir dengan kakinya yang tersendiri lengkap dengan sistem audio terbina.

Mari mulakan dahulu dengan skrin Sero. Skrin 43″ QLED yang digunakan menyokong resolusi 4K dan juga paparan HDR10+. Skrin QLED ini mampu memaparkan 100% warna di bawah gamut Quantum Dot. Bagi mereka yang inginkan paparan dengan kadar segar semula, Sero boleh menyokong mod 100+ FPS. Tetapi bagi mereka yang mungkin berfikir untuk menggunakan Sero sebagai paparan komputer, sedikit mengecewakan ia tidak hadir dengan sokongan NVIDIA G-SYNC atau AMD Freesync.

Televisyen moden hanya sebaik pilihan sambungannya dan Sero dilengkapi 3 HDMI, 2 USB dan sambungan antena RF. Sambungan rangkaian masih lagi sekadar WiFi5 sahaja pada waktu ini dan aneh sekali tiada sokongan LAN seperti televisyen pintar Samsung lain di pasaran.

Sistem operasi yang disertakan ialah Tizen yang ketika artikel ditulis adalah sistem operasi yang paling tinggi penggunaannya (14%) untuk penstriman di televisyen. Tiada masalah mencari aplikasi popular seperti Netflix, YouTube, YouTube Kids, Amazon Prime Video, Spotify dan banyak lagi pada stor aplikasi Tizen.

Menerusi aplikasi SmartThings, pengguna boleh menggunakan telefon pintar sebagai alat kawalan jauh. Pilihan sambungan juga meluas dengan kemampuan memancarkan kandungan terus dari aplikasi Gallery Samsung dan juga Apple AirPlay 2 bagi pengguna peranti iOS. Ekosistem Tizen kini cukup meluas dan bukan sekadar untuk telefon pintar. Sekiranya anda memiliki peranti pintar dan berhubung keluaran Samsung, Sero boleh menjadi hub untuk melihat notifikasi mesej, mesin basuh yang telah siap mencuci dan melihat kandungan di dalam peti sejuk pintar.

Satu lagi ciri unik Sero terletak pada sistem audio 4.1 60W dengan Dolby Digital Plus. Pembesar suara pada bahagian tapak dihalakan ke hadapan bagi memastikan pengalaman audio yang baik. Televisyen pintar biasanya dilengkapi pembesar suara yang ditembak ke bawah untuk dilantunkan ke permukaan meja.

Pembesar suara ini diletakkan pada bahagian tapak dengan konfigurasi tongkat. Pada bahagian hadapan terdapat bahan fabrik berwarna biru yang menutupi permukaan pembesar suara. Kemasan pada bahagian lain Sero diperbuat daripada plastik dengan kemasan yang kasar. Jika anda inginkan pilihan warna lain berita buruk bagi anda ialah Sero hanya ditawarkan dengan tapak berwarna biru. Kemasan tambahan magnetik seperti The Frame tidak diberikan.

“Tiada masalah mencari aplikasi popular seperti Netflix, YouTube, YouTube Kids, Amazon Prime Video, Spotify dan banyak lagi pada stor aplikasi Tizen”

Kerana tapak yang agak besar ini, Sero adalah sebuah televisyen yang berat walaupun hanya bersaiz 43″. Ia seberat 33.3kg dengan tapak dan 26kg. Televisyen pintar dengan saiz setanding biasanya adalah dalam lingkungan 8-10 kg sahaja. Berat tambahan ini adalah kerana sistem motor yang digunakan untuk memutarkan skrin.

Oleh sebab itu ini bukanlah televisyen yang mudah diubah kedudukannya di rumah. Jika mobiliti adalah penting, Samsung menawarkan aksesori tapak beroda pada harga RM299 untuk satu set lengkap.

Penggunaan Dan Perisian

Tizen ialah sistem operasi televisyen pintar yang mudah digunakan dengan antaramuka yang mudah difahami. Apabila butang Home ditekan pada alat kawalan jauh, sebuah palang akan muncul pada bahagian bawah skrin yang memaparkan aplikasi terpasang serta menu untuk tetapan TV, informasi mengenai perisian, peranti yang disambung pada port USB, pilihan input dan akses kepada siaran televisyen.

Sokongan aplikasi adalah amat baik dengan kesemua aplikasi popular boleh dimuat turun dari stor Samsung. Antaramuka adalah lancar dengan input tidak mempunyai sela masa yang terlalu ketara selepas butang ditekan pada alat kawalan jauh.

Alat kawalan yang digunakan adalah ergonomik dengan tubuh yang dibulatkan serta sedikit bengkok untuk mengikut bentuk tangan. Ini ialah alat kawalan OneRemote yang digunakan pada kesemua televisyen pintar Samsung sejak 2018. Sebuah butang roda besar digunakan sebagai D-Pad dengan butang utama pada bahagian tengah. Tiga kumpulan butang berbentuk bulat dengan tri-butang tersusun kemas.

Set pertama yang terletak paling atas mengandungi butang untuk saluran TV, Bixby dan memutarkan orientasi skrin. Set kedua terdiri daripada butang Back, Home dan main/jeda. Set terakhir pada barusan paling bawah mempunyai Netflix, Amazon Prime Video dan melancarkan pelayar web. Butang kawalan untuk laras audio dan menukar saluran diletakkan sebaris.

Jadi bagaimanakah Sero dikawal? Terdapat tiga cara skrin boleh diputar. Cara pertama ialah menekan butang pada alat kawalan. Cara kedua ialah dengan menggunakan aplikasi SmartThings. Peranti pintar dan TV perlu dipadankan terlebih dahulu. Selepas ini dilakukan peranti akan berubah menjadi alat kawalan jauh untuk mengawal TV.

Cara ketiga ialah memilih untuk memancarkan kandungan ke Sero dari peranti. Pilihan untuk Tap View dan Tap Sound akan muncul pada talam notifikasi apabila peranti berada berhampiran antara satu sama lain. Hanya letakkan peranti pada sisi Sero dan kandungan peranti akan terus dipancarkan ke skrin TV.

Skrin Sero menggunakan nisbah 16:9, oleh itu jika telefon pintar mempunyai nisbah skrin berbeza palang hitam pada sisi akan muncul. Tidak perlu risau kerana terdapat pilihan untuk memaksa Sero memaparkan kandungan pada nisbah 16:9. Dalam mod ini Sero akan memutarkan skrin mengikut orientasi peranti mengikut sensor giroskop peranti. Masa diambil untuk putaran lengkap ialah sekitar 3 saat.

Pada posisi menegak ini, pengguna boleh mengakses Potrait Mode. Ia seakan sebuah screensaver dengan pilihan memaparkan jam, Poster, My Photo, Cinemagraph dan Sound Wall. Cinemagraph ialah mod yang menarik perhatian kerana imej yang bergerak secara berulang dipaparkan pada skrin. Sound Wall pula menggerakkan imej berdasarkan muzik yang dipasang.

Kesemua ciri yang kami katakan tadi adalah menarik tetapi mempunyai satu kekurangan dimana aplikasi yang dibuka pada kedudukan melintang akan ditutup sebaik sahaja skrin diputar ke posisi menegak. YouTube dan Netflix ialah dia aplikasi yang tidak disokong pada mod menegak pada waktu ini. Kami berharap Samsung akan membenarkan aplikasi terus digunakan pada kedudukan menegak menerusi sokongan kemaskini.

Kesimpulan

Sero ialah televisyen pintar generasi pertama yang benar-benar direka untuk digunakan dengan sebuah telefon pintar. Memang ia adalah gimik tetapi kami dapat melihat golongan sasarannya iaitu insan yang ingin menikmati kandungan peranti mudah alih pada TV. Harus kami katakan kami bukan dari golongan ini tetapi anak muda mungkin merasakan Sero lebih serasi dengan jiwa mereka.

Amat mudah untuk memancarkan kandungan dari peranti ke TV menerusi aplikasi SmartThings dan AirPlay 2. Semakin mudah jika anda memiliki peranti Samsung dengan sokong secara terbina lain seperti Wireless DeX yang baru diperkenalkan. Kemampuan untuk skrin berputar secara automatik apabila mengesan peranti pintar diputarkan adalah amat menarik walaupun masa yang diambil untuk berputar 90 darjah adalah sekitar 3 saat.

Tetapi Sero jelas ialah peranti generasi pertama kerana tidak semuanya berjalan lancar. Netflix dan YouTube akan ditutup sebaik sahaja skrin diputarkan menegak. Tiada pilihan untuk terus menonton pada orientasi ini. Malahan jika dipaksa aplikasi dihalang dari dilancarkan. Saiz skrin 43″ juga kami rasakan terlalu kecil untuk harga yang ditawarkan.

Dengan harga RM6999 sebuah ia mempunyai persamaan dengan Galaxy Fold. Peranti generasi pertama yang dijual pada harga lebih tinggi dari biasa untuk mereka yang inginkan keunikan. Bagi mereka yang tidak mampu ia akan kekal sebagai peranti mampu tengok. Bagi mereka yang mampu, ia satu-satunya televisyen dengan kemampuan skrin berputar di pasaran Malaysia sekarang.

Pro

  • Skrin 4K UHD QLED yang amat terang dan paparan warna yang menarik.
  • Sokongan HDR10+
  • Tizen ialah sistem operasi yang baik dan mudah digunakan.
  • Paparan berputar mengikut orientasi telefon pintar secara automatik.
  • Pembesar suara 4.1 Dolby yang lantang serta berkuasa.

Kontra

  • Skrin 43″ adalah kecil untuk televisyen yang dijual pada harga hampir RM7000.
  • Tidak semua aplikasi menyokong orientasi menegak.
  • Amat berat sehingga sukar digerakkan.

TIPS & ULASAN