Cari @ Amanz

Kod nama bagi peranti berhubung Google yang seterusnya adalah Sabrina. Ia adalah sejenis dongel Android TV, yang mana pada awalnya dikatakan adalah sebuah lagi dongel Chromecast. Sehingga hari ini, produk ini masih lagi belum dilancarkan dan nama rasmi bagi produk ini masih belum didedahkan lagi. Tetapi menurut beberapa laporan, penjual telah pun menerima stok dan produk ini mungkin akan terus dijual tanpa sebarang acara pelancaran – seperti Google Pixel 4a.

Terkini, nama rasmi bagi produk ini telah tertiris. Seperti yang ramai laporkan sebelum ini, produk ini sememangnya berada dalam kategori Chromecast dari Google. Nama produk ini dikatakan adalah Google Chromecast With Google TV. Nama Google TV ini tidak asing sebenarnya, kerana ia adalah nama yang Google telah gunakan pada tahun 2010 – iaitu tahun sistem operasi televisyen dari Google ini diumumkan. Kemudian tahun 2013, Google ingin selaraskan dengan produk Android dan dinamakan kepada Android TV. Tetapi pada tahun ini, bulan Mei lepas Google dilaporkan akan kembali menggunakan nama ini.

Harga anggaran bagi dongel ini adalah sekitar RM200-RM250. Ia akan dijana dengan cip Amlogic S905X2 empat teras Cortex-A53 pada kelajuan 1.8 GHz, GPU Mali-G31 MP2 dan memori sebesar 2GB RAM. Walaupun spesifikasinya tidak sehebat NVIDIA Shield TV, tetapi ia hboleh diterima kerana harga jualan yang rendah serta mampu menyokong Stadia untuk video 4K 60FPS dengan HDR10, HLG dan Dolby Vision.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd