Imej Pengolokan OnePlus 8T Diperlihatkan – Dedah Rekaan Panel Belakang

Imej Pengolokan OnePlus 8T Diperlihatkan – Dedah Rekaan Panel Belakang

Diterbitkan pada Sep 15, 2020 oleh .

OnePlus 8T boleh dikatakan antara salah satu model yang turut menjadi tumpuan ketika ini. Hari demi hari, maklumat tertiris mengenainya semakin kerap membanjiri media sosial. Ia dipercayai hadir dengan skrin rata bersama kadar segar semula 120Hz, Snapdragon 865, kuad-kamera utama 48-Megapixel dan menjalankan perisian Android 11.

Terkini,giliran imej pengolokan peranti pula dilaporkan telah tertiris. Ia dilihat membawakan rekaan skrin yang sama seperti siri OnePlus 8 sebelum ini – dengan penggunaan skrin berlubang untuk panel hadapan. Namun begitu, rekaan pada panel belakangnya terdapat perbezaan – di mana, ia menggunakan modul kamera berbentuk segi empat dengan kuad-kamera utama bersama susunan lensa berbentuk huruf L.

Ia mengingatkan kami kepada rekaan modul kamera yang digunakan oleh Samsung pada sejumlah model Galaxy A mereka sebelum ini. Selain itu, sejumlah spesifikasi lain peranti turut dikatakan tertiris – di mana, OnePlus 8T dipercayai hadir dengan skrin bersaiz 6.5-inci AMOLED FHD+, kamera swafoto 32-Megapixel dan bateri berkapasiti 4,500mAh.

Imbas kembali, OnePlus sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi susulan penularan dakwaan yang mengatakan sistem operasi Oxygen OS 11 kelihatan begitu mirip dengan One UI. Namun, dakwaan itu disangkal oleh OnePlus dan telah tampil memberi penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku. Tetapi, apa yang tertiris untuk kali memberi kita bayangan lain pula – di mana OnePlus dilihat seakan mengambil inspirasi rekaan daripada peranti kelas pertengahan Samsung pula. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?



TIPS & ULASAN