Carian
#Seratus21 – Identiti Digital Nasional
October 13, 2020 Effi Saharudin

Kad pengenalan diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1948 ketika waktu darurat. Ia dapat digunakan untuk membezakan identiti rakyat biasa dengan pengganas komunis yang melakukan tentangan bersenjata. Versi pertama kad pengenalan diperbuat daripada kertas.

Sejak itu kad pengenalan mengalami empat lagi perubahan bermula pada tahun 1961 dengan pengenalan kad plastik sebelum MyKad dengan cip pintar diperkenalkan pada tahun 2001. Setiap iterasi kad pengenalan identiti Malaysia adalah versi fizikal yang perlu dibawa sepanjang masa. Risiko berlakunya kehilangan atau ianya dipalsukan adalah tinggi.

Maka kita kini tiba di persimpangan untuk memperkenalkan identiti digital nasional. Sudah tiba masanya teknologi kad fizikal yang sudah berusia 72 tahun digantikan dengan kad digital. Bukankah ini matlamat asal MyKad iaitu merealisasikan impian kerajaan tanpa kertas. Secara logiknya jika kerajaan tanpa kertas, identiti rakyat juga harus menjalani proses yang sama.

Usaha terawal membangunkan identiti nasional ialah pengumuman perkhidmatan emel 1Malaysia sembilan tahun yang lalu dibangunkan oleh Tricubes dengan kerjasama Microsoft. Setiap rakyat berusia 18 tahun akan menerima emel rasmi yang mengesahkan identiti mereka. Menerusi portal khas, rakyat boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran bil dan media sosial.

Emel 1Malaysia ialah sebuah idea yang menarik tetapi tersungkur di tengah jalan. Projek MyEmail.my yang di bawah emel 1Malaysai gagal mendapat sambutan. Ia kemudiannya terus berkubur menjadi debu-debu Thanos selepas Triccubes digantung dari bursa Malaysia pada tahun 2012.

Kemudian myIdentity pula dibangunkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dengan penawaran serta ciri yang serupa. Tetapi pisang berbuah dua kali dan myIdentity juga hilang tanpa bayangan tetapi laman webnya masih berfungsi sehingga sekarang.

Percubaan ketiga dilakukan pula oleh Pos Malaysia dengan memperlihatkan konsep MSiD+ tahun lalu. Perkhidmatan yang ditawarkan lebih meluas seperti membuka akaun bank, membuka akaun telefon baharu, melihat rekod kesihatan, mengakses perkhidmatan kerajaan dan transaksi yang dilakukannya sepenuh secara atas talian. MSiD+ menunjukkan potensi identiti nasional sekiranya dilaksanakan dengan sempurna.

Pos Malaysia MSiD

Usaha terkini oleh SKMM menerusi Identiti Digital Nasional ialah yang paling serius setakat ini dengan kerajaan mengambil maklum balas dari pengguna untuk mengukur minat. Antara ciri menarik yang ditawarkan ialah membuang undi secara atas talian dan locker digital yang menyimpan transkrip pelajaran setiap individu.

Malaysia tidak lagi boleh melengahkan proses pendigitalan identiti nasional kerana negara-negara lain seperti Jepun dan Jerman telah memulakan langkah awal. Dengan semakin banyak perkhidmatan dilakukan secara atas talian, identiti digital akan memudahkan proses serta mengurangkan masalah penipuan yang semakin berleluasa.

Semasa MyKad dilancarkan dahulu ia sepatutnya memulakan era baru pengenalan identiti negara. Tetapi ia terbantut sebagai bukti pengenalan di bank, di pos kawalan keselamatan dan kad Touch n Go. Potensi sebenar MyKad tidak pernah digunakan sedangkan Estonia yang mengimplementasikan sistem yang sama kini menjadi negara contoh.

Di Estonia identiti digital kini bukan sahaja boleh digunakan oleh rakyat tetapi juga warga asing yang menetap untuk membuktikan identiti sekaligus memudahkan mereka mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan. Jenaka di Estonia ialah pelbagai perkara boleh dilakukan menggunakan identiti digital kecuali perkahwinan, penceraian dan membeli tanah.

Selepas Identiti Digital Nasional berjaya dilakukan. Langkah seterusnya ialah untuk bekerjasama di peringkat global untuk memperkenalkan pula pasport digital. Qualcomm dan Apple telah mula membangunkan sistem untuk menyokongnya pada peranti pintar masa hadapan.

Pada tahun 1998 impian negara tanpa kertas ditanam di dalam kepala oleh Tun Dr Mahathir. Pada tahun 2021 pula usaha untuk merealisasikan identiti digital nasional perlu diteruskan. Sebagai negara pertama yang memperkenalkan penggunaan kad pengenalan pintar dan mempunyai koridor raya multimedia, Malaysia tidak boleh terus tersungkur lagi selepas menjadi antara pelopor. Kegagalan berterusan tidak seharusnya menjadi legasi yang perlu diteruskan.

Komen