Satu banyak-banyak, Dua sikit-sikit, Tiga jarang-jarang, Empat kadang-kadang. Inilah yang berlaku semalam selepas empat model iPhone 12 dilancarkan secara serentak. Peranti yang dilancarkan ialah iPhone 12 yang menggantikan iPhone 11. iPhone 12 Mini yang merupakan telefon 5G terkecil dunia. iPhone 12 Pro yang menggantikan 11 Pro dan akhir sekali 12 Pro Max yang menggantikan 11 Pro Max.
Bagi mereka yang mungkin ketinggalan acara Apple Event pagi tadi. Senarai 10 Perkara Paling Menarik ini kami hasilkan bagi memudahkan anda melihat apakah keistimewaan dan penambahbaikan yang diberikan oleh Cupertino kepada telefon pintar generasi terkini mereka tahun ini. Tanpa berlengah lagi mari kita mulakan.
1.Skrin Dengan Perisai Seramik Tahan Lasak

Skrin tahun ini adalah lebih besar berbanding tahun lalu. iPhone 12 Pro Max dengan skrin 6.7″ berbanding iPhone 11 Pro Max 6.5″. iPhone 12 Pro pula dengan skrin 6.1″ berbanding iPhone 11 Pro dengan skrin 5.8″. Ini dilakukan tanpa perubahan saiz tubuh yang besar tetapi dengan pengurangan saiz bezel skrin.
Skrin juga hadir dengan perisai seramik (Seramic Shield) yang menurut Apple adalah lebih tahan hentakkan berbanding kaca biasa. Mereka memperkenalkan kristal seramik nano pada kaca skrin. Hasilnya ialah perisai seramik yang 4 kali ganda lebih tahan lasak dalam ujian jatuhan yang telah dilakukan. Teknologi perisai seramik ini digunakan pada kesemua model iPhone 12.
2. Apple A14 Bionic – Cip 5nm Pertama Dunia

Cip A14 Bionic telah digunakan terlebih dahulu pada iPad Air 2020 yang dilancarkan hanya beberapa minggu yang lalu. Ia akhirnya digunakan pada iPhone dan menurut Apple menawarkan peningkatan prestasi pemprosesan dan grafik sehingga 50% berbanding cip generasi terdahulu.
Ini dapat dilakukan selepas Apple berpindah dari teknologi 7nm pada A13 Bionic ke teknologi 5nm pada A14 Bionic. Penjimatan kuasa, pengurangan haba dan lebih banyak transistor dapat diletakkan pada cip. Sebagai perbandingan A14 Bionic mempunyai 11.8 bilion transistor berbanding 8.5 bilion transistor pada A13 Bionic. Peningkatan hampir 39%. Penambahan kuasa memproses kini kemudiannya digunakan untuk menyokong ciri-ciri baharu pada peranti yang akan kami sentuh di bawah.
3. OLED Untuk Semua

Dalam masa tiga tahun Apple akhirnya berhenti menggunakan panel LCD pada telefon terkini mereka. Keempat-empat model dilengkapi skrin OLED dengan resolusi Super Retina XDR. Hasilnya isu peranti yang mempunyai skrin yang kurang berkualiti berbanding model yang lebih mahal telah diselesaikan.
Pada skrin tahun ini, keterangan maksimum 1200 nits dapat dinikmati bagi menyokong kandungan HDR. Tidak terhenti di sini, skrin menyokong format HDR Dolby Vision, HDR10 dan HLG. Warna yang lebih hidup dan hitam yang lebih legap dapat dinikmati oleh pengguna.
4. Kemampuan Rakaman Dan Suntingan Video Dolby Vision

Dengan skrin yang menyokong kandungan HDR, adalah munasabah untuk kamera peranti menyokong rakaman kandungan HDR juga. Buat pertama kalinya sebuah telefon pintar menyokong rakaman HDR menggunakan format Dolby Vision. Ini adalah peningkatan warna dari 8 ke 10 bit.
Secara lazimnya kandungan Dolby Vision memerlukan sebuah komputer untuk disunting bagi mengekalkan data meta HDR. Keempat-empat iPhone 12 juga adalah telefon pertama berkemampuan menyunting kandungan Dolby Vision kerana kuasa memproses A14 Bionic yang tinggi. iPhone tidak lagi ketinggalan dengan Android kerana sebelum ini Sony Xperia 1 II menjadi telefon pintar pertama menyokong rakaman HDR10.
5. Mod Malam Pada Lensa Sudut Lebar, Ultra Sudt Lebar Dan Swafoto

Kami merungut pada iPhone XS Max dan 12 Pro Max tahun lalu, sistem mod malamnya terhad kepada penggunaan pada lensa sudut lebar sahaja. Adalah tidak munasabah mod malam dihadkan sebegini sedangkan pada peranti Android kesemua lensa peranti boleh menggunakannya tanpa masalah.
Rungutan dua tahun berakhir dengan iPhone 12. Mod malam kini boleh digunakan pada tiga kamera iaitu kamera sudut lebar, ultra sudut lebar dan swafoto. Masih tiada kemampuan memberikan mod malam pada lensa telefoto nampaknya. Kemampuan rakaman video dengan mod malam juga diberikan kerana lensa kini menangkap cahaya 27% lebih baik
6.Pengecasan 20W Lebih Pantas

Tahun ini pengecasan pada iPhone menjadi lebih pantas dengan sokongan sehingga 20W dari 18W tahun lalu. Ura-ura pengenalan format pengecasan pantas ini telah mula didengari sejak awal tahun lagi. Ia masih tidak setanding yang ditawarkan pada peranti Android tetapi adalah langkah yang betul ke arah mengurangkan waktu menunggu peranti dicas semula. Yang mungkin akan menimbulkan rungutan ialah Apple tidak menyertakan pengecas ini secara t
7.Sokongan 5G Untuk Semua

Era 5G bermula pada iPhone tahun ini. Nampaknya Apple tidak langsung menawarkan versi 4G seperti beberapa ura-ura yang didengari. Dengan sokongan 5G, kelajuan rangkaian selular terpantas boleh dinikmati di negara yang telahpun menyokongnya. Di Amerika Syarikat, iPhone 12 yang dijual akan menyokong rangkai 5G gelombang mm yang lebih pantas.
Sudah tiba masanya Apple menawarkan peranti 5G kerana ia telah disokong Android sejak tahun lalu. Menarik sekali dalam sebuah pungutan suara yang dilakukan di Amerika Syarikat, sekitar 30% pengguna iPhone percaya peranti mereka sudah menyokong rangkaian 5G walaupun sebenarnya tidak.
8. LiDAR Diperkenalkan

Sekilas pandang seperti tiada penambahbaikan diberikan kepada sistem kamera. Konfigurasi tri-lensa iPhone 11 Pro dikitar semula tetapi tanggapan ini silap. Sebuah sensor LiDAR telah ditambah dengan saiz lebih kecil jika dibandingkan dengan yang digunakan pada iPad Pro 2020.
Apakah kelebihan menggunakan LiDAR pada kamera? Dari sudut fotografi pemfokusan waktu malam dapat dilakukan lebih pantas kerana kedudukan objek dapat dikesan dengan pantas secara tiga dimensi. Latar belakang dapat diasingkan dengan lebih tepat dalam mod potret dan mod potret berfungsi lebih baik dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan.
Untuk kegunaan realiti terimbuh pula, perisian akan dapat mengetahui kedudukannya di dunia sebenar dengan lebih pantas. Tiada keperluan menggerakkan peranti selama beberapa saat untuk perisian meletakkan objek maya di dunia sebenar. Objek maya yang sama juga boleh menyorok di sebalik objek dunia sebenar kerana LiDAR memetakan bilik secara tiga dimensi.
9. MagSafe Kembali Dengan Aksesori Tersendiri

Cabaran menggunakan pengecas nirwayar ialah mencari lokasi gegelung pengecas yang tersembunyi. Dengan aksesori MagSafe generasi baru, sambungan yang tepat sepanjang masa dapat dilakukan kerana terdapat sistem magnet yang disusun bulat. Pengecas nirwayar yang bersambung sepanjang masa juga dapat dilakukan.
Kami ada beberapa pengecas nirwayar di pejabat dan sudah beberapa kali peranti terjatuh dari pad kerana terlanggar. Pengecasan boleh terhenti dan dalam kes paling serius peranti terjatuh ke lantai. Sistem MagSafe ini menghidupkan semula pengecas yang dipopularkan pada MacBook dahulu. Tambahan lagi aksesori MagSafe menyokong pengecasan nirwayar 15W yang lebih pantas berbanding hanya 7.5W tahun lalu.
10.Kembalinya Rekaan Klasik iPhone 4

Menurut pendapat sebilangan besar peminat Apple, iPhone 4 ialah telefon pintar dengan rekaan yang paling klasik. Sisi berkotak kemas dan masih kelihatan bergaya walaupun sudah berusia 10 tahun. Pada iPhone 12, rekaan iPhone 4 ini telah dihidupkan semula sebagai homage kepada antara peranti terakhir menerima sentuhan peribadi Steve Jobs.
Ia juga menyeragamkan rekaan iPhone, MacBook Pro, iPad Air dan iPad Pro. Terdapat spekulasi rekaan berkotak ini digunakan kerana rekaan antena 5G yang memerlukan ruang yang lebih besar. Betul ataupun tidak adalah tidak penting. Sempena ulang tahun ke-10 iPhone 4, Apple merasakan 2020 ialah masa yang tepat untuk mengembalikan nostalgia.
Jadi adakah 10 Perkara Menarik ini cukup untuk membuatkan anda membeli iPhone 12 tahun ini. Sekiranya apakah ciri yang paling menarik minat anda dan apa pula yang mungkin kami terlepas pandang. Sila tinggalkan komen di bawah artikel ini untuk berkongsi pendapat peribadi anda.