OnePlus 9 Dikatakan Muncul Dalam Imej Sebenar

OnePlus 9 Dikatakan Muncul Dalam Imej Sebenar

Diterbitkan pada Dis 14, 2020 oleh .

Mengikut desas-desus sebelum ini, OnePlus dijangka memperkenalkan model ini empat minggu lebih awal daripada kiraan pelancaran biasa. Setakat ini, pelbagai spekulasi mengenai peranti telah didengar. Ia termasuklah, hadir dalam tiga model berbeza iaitu OnePlus 9, OnePlus 9 Pro dan OnePlus 9E. Seterusnya, kemampuan kalis air IP68 hanya untuk OnePlus 9 Pro sahaja dan banyak lagi.

Dalam perkembangan terkini, imej tertiris yang didakwa memperlihatkan rekaan OnePlus 9 dilaporkan telah tertiris ke arena web. Ia bukan sahaja memperlihatkan rekaan penuh sebaliknya, turut disertakan dengan spesifikasi utama pada peranti. Melalui rekaan yang tertiris ini, ia memperlihatkan rekaan modul kamera dan logo yang berbeza.

Paling ketara sekali adalah logonya, ia nampak langsung tidak sepadan dengan identiti OnePlus sebelum ini. Seterusnya, modul kamera belakang terdiri dengan dua sensor yang besar dan sensor ketiga pula lebih kecil. Selain, turut terdapatnya sokongan LED Flash dan penjenamaan ‘UltraShot‘ pada modul kamera tersebut. Ia bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan mengenai konfigurasi kamera buat masa ini.

Untuk panel hadapan, ia diinspirasikan daripada OnePlus 8T sebelum dengan menyertakan rekaan berlubang untuk peletakan kamera swafoto. Ia dipercayai hadir dengan skrin berukuran 6.55-inci dengan resolusi FHD+. Lebih menariknya, paparan ini juga dipercayai menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz dan kandungan HDR.

Turut kelihatan cip pemproses yang disertakan menampilkan kod nama ‘Lahaina’ – yang dikatakan berkait rapat dengan pemproses Snapdragon 888. Spesifikasi lain termasuk lah memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB tanpa pilihan untuk sokongan kad microSD, sistem operasi Android 11 dan bateri 4,500mAh menerusi port USB-C.

Seperti biasa, maklumat dikongsi masih diperingkat ura-ura dan belum diketahui kesahihannya secara penuh. Mungkin kita akan mendengarnya lebih lanjut pada masa terdekat ini.



Paling Popular