Bulan Mac ini, OnePlus akan melancarkan siri peranti mercu OnePlus 9. OnePlus dikatakan akan hadir dengan tiga peranti, iaitu OnePlus 9, OnePlus 9 Pro dan OnePlus 9E. Ada khabar angin katakan, peranti ketiga itu mungkin juga akan dikenali sebagai OnePlus 9 Lite. Peranti ketiga ini mungkin akan menjadi peranti mercu mampu milik, kerana dilaporkan akan dijana dengan Snapdragon 865.
Dengan rekaan OnePlus 9 yang pernah tertiris sebelum ini, ia kelihatan sama dengan Oppo Reno5. Jadi mungkin juga, Oppo Reno5 dijenamakan semula dan cip diganti dengan Snapdragon 865 untuk OnePlus 9 Lite. OnePlus 9 Lite ini dikatakan akan dijual di India dan di China sahaja. Ia mungkin kelak akan memasuki pasaran Eropah. Ini adalah strategi pemasaran seperti siri OnePlus Nord, yang mana segelintir negara sahaja akan menerima produk ini.
LE2100 dan LE2101 adalah dua model nombor peranti ini. Mungkin di China akan digelar OnePlus 9E dan di India OnePlus 9 Lite. Peranti ini akan menyokong skrin 90Hz AMOLED, pengecasan pantas 30W dan menjalankan Android 11. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut mengenai peranti ini.