Realiti terimbuh (AR) adalah teknologi yang kini mendapat perhatian ramai selepas tempoh pembangunan yang agak panjang. Beberapa percubaan awal gagal mendapat sambutan kerana kekangan teknologi dan juga harga peranti yang di luar kemampuan orang ramai. Tetapi visi masa depan AR kini semakin jelas dengan Google, Facebook dan Apple masing-masing membangunkan platform masing-masing. Hari ini Facebook Reality Lab (FRL) berkongsi visi teknologi AR mereka untuk dekad yang mendatang.
Pertama sekali mereka mengesakan kaca mata AR Project Aria yang dibangunkan dengan kerjasama Ray-Ban akan dilancarkan tahun ini selepas diuji di kampus Facebook tahun lalu. Seterusnya ialah menghasilkan alat kawalan serta antaramuka yang paling sesuai untuk digunakan di dunia sebenar. Antara yang dibangunkan ialah alat kawalan dalam bentuk peranti boleh-pakai di pergelangan tangan. Peranti ini menggunakan teknologi electromyography (EMG) dimana isyarat dari otak dihantar ke organ-organ tubuh.

Apabila jari bergerak misalnya, isyarat EMG dapat dikesan oleh peranti boleh-pakai yang kemudiannya menghantarnya kepada peranti AR yang dipakai. FRL membayangkan pengguna boleh memberikan input menjawab panggilan telefon yang diterima pada peranti AR dengan menggerakkan jari. Kemudian panggilan boleh ditamatkan dengan menggerakkan pergelangan tangan. Menatal skrin maya yang terapung di dunia maya juga boleh dilakukan menerusi peranti boleh-pakai ini.
Seterusnya sepasang sarung tangan haptik pula boleh digunakan untuk menaip di udara. Ini ialah fiksyen sains yang kerap dilihat dalam filem seperti Ready Player One dan Iron Man 3. Sekiranya anda ingat, FRL ada menunjukkan demo Infinite Office tahun lalu dimana Oculus Quest 2 mengesan pergerakan jari untuk menaip papan kekunci maya. Tetapi ini memerlukan jari sentiasa dapat dilihat oleh kamera Oculus Quest 2. Tetapi kaca mata AR di masa hadapan mungkin tidak mempunyai kamera yang mencukupi maka sarung tangan haptik ini akan membolehkan perkara yang sama dilakukan. Kesemua peranti input boleh-pakai ini kemudiannya akan digantikan dengan peranti yang boleh mengesan gelombang otak.

Selain cabaran membina peranti input untuk peranti AR, FRL juga sedang membangunkan antaramuka yang paling sesuai. Antaramuka perlu memberikan konteks yang tepat dan paparan maya yang tidak mengganggu penglihatan. Tidak ada orang ingin notifikasi terapung betul-betul di depan muka ketika memandu misalnya. Demo yang dikongsi menunjukkan kotak navigasi kecil mengarahkan pengguna ketika di dalam pasar raya, mengubah tetapan termostat mengesan salji dan memberikan sarana membawa payung jika ada ramalan akan hujan.
Akhir sekali ialah menggunakan kecerdasan buatan yang memahami konteks apa yang sedang dilihat. Sebagai contoh apabila memasuki restoran, antaramuka yang memberikan saranan pembelian akan muncul pada skrin. Ketika cuba membaiki tombol pintu, arahan bagaimana pintu boleh dibaiki akan dipaparkan selari dengan pintu yang tidak terhalang.