Cari @ Amanz

Google, OnePlus dan Samsung adalah tiga syarikat pengeluar peranti Android yang memberikan sokongan kemas kini sistem operasi secara rasmi selama 3 tahun. Ini masih lagi di belakang Apple yang menyokong peranti sehingga lima tahun. Tetapi ada satu pengeluar Android yang kini boleh mendabik dada kerana memberikan sokongan setanding Apple dan memalukan Google sendiri.

Fairphone 2, telefon mesra alam dan adil kepada kemanusiaan dilancarkan pada Disember 2015. Ia kini baru sahaja menerima kemas kini Android 9 Pie yang stabil selepas versi Beta diuji pada Jun 2020. Semasa dilancarkan ia masih menggunakan Android 5.0 Lollipop. Pihak Fairphone berkata terdapat pelbagai isu yang perlu dihadapi untuk memberikan sokongan sistem operasi pada peranti yang hampir berusia 6 tahun.

Isu pertama ialah pemproses yang digunakan. Qualcomm hanya akan menyokong cip Snapdragon mereka selama tiga tahun selepas dilancarkan. Jadi bagaimanakah Fairphone mampu memberikan kemas kini selama lima tahun? Dengan mendapatkan bantuan dari pembangun LineageOS yang mempunyai reputasi menghasilkan ROM untuk peranti Android yang tidak lagi menerima sokongan rasmi dari pengeluar.

Fairphone 3

Tetapi bagi memastikan pemilik Fairphone 2 benar-benar dapat mempercayai keselamatan peranti, Fairphone memenuhi kesemua 480,000 ujian Compatibility Test Suite yang dikenakan oleh Google kepada pelesen Android rasmi. Dengan kejayaan ini, Fairphone menjadi pengeluar peranti Android pertama memberikan sokongan versi sistem operasi selama lima tahun.

Pada waktu yang sama, pengguna Fairphone 3 dan 3+ akan menerima kemas kini Android 11 pada pertegahan tahun ini. Walaupun Qualcomm menghentikan sokongan kepada cip Snapdragon 632 yang digunakan peranti selepas Julai 2021, Fairphone tetap akan meneruskan sokongan kemas kini seperti yang diterima Fairphone 2.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd