Razer Opus X Akan Dilancarkan Tidak Lama Lagi – Set Fon Kepala Opus Yang Lebih Murah?

Diterbitkan pada Jun 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer Opus adalah set fon kepala nirwayar dengan sokongan pembatalan hingar aktif. Ia juga hadir dengan sistem audio yang ditala oleh THX, menggunakan pemandu audio 40mm, bahan binaan adalah plastik dengan kemasan hitam kusam, serta mempunyai butang-butang fizikal untuk kawalan. Rekaan Opus berbeza sekali dengan fon kelapa Razer yang lain kerana tiada langsung logo dengan warna neon. Ia kelihatan lebih seperti sepasang fon kepala Sony dengan span telinga dan kepala dari bahan kulit palsu.

Harga jualan juga agak baik, iaitu RM1065. Bersama-sama dengan pelancaran Razer Hammerhead True Wireless X hari ini, iaitu iterasi mampu milik bagi TWS mereka Razer Hammerhead True Wireless Pro yang dilancarkan tahun lalu – Razer turut mengedarkan kemasakini kepada aplikasi Razer Audio mereka untuk sokongan tambatan TWS baharu. Di dalam aplikasi ini, tersenarai satu lagi produk baharu – iaitu Razer Opus X.

Set fon kepala ini dilihat menggunakan kod nama samantha_t2, serta turut menyenaraikan warna yang akan ditawarkan – X Edition, Black Edition, Green Edition, Mercury Edition, dan Quartz Edition. Imej produk turut dapat kelihatan dalam aplikasi ini untuk warna hijau, putih dan merah jambu. Rekaan secara keseluruhan kelihatan masih mirip dengan Opus yang asal. Mungkin ia adalah iterasi tanpa sokongan pembatalan hingar aktif? Sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami