Cari @ Amanz

iPhone 13 dijangka adalah nama iPhone yang seterusnya yang mungkin akan dilancarkan pada tahun ini. iPhone 13 akan hadir dengan iOS 15 terus daripada kotak, iaitu sistem operasi terbaru Apple yang diperkenalkan baru-baru ini. Peranti ini dilaporkan akan hadir dengan kapasiti bateri 20% lebih tinggi, skrin kadar segar semula tinggi, bonggol kamera yang lebih aneh dan akhirnya mungkin akan menggunakan rekaan takuk yang lebih kecil.

Dalam kajian yang dilakukan oleh SellCell, 74% daripada 3000 pengguna produk Apple tidak bersetuju dengan nama iPhone 13. 1 daripada lima pengguna iPhone dan iPad, iaitu sekitar 18.3% mempunyai fobia terhadap nombor 13 atau lebih dikenali sebagai triskaidekafobia dan 24.9% daripadanya adalah pengguna lelaki. Tetapi 81.7% daripada 3000 pengguna ini mungkin akan tetap membeli iPhone baharu ini.

Malah, majoriti pengguna iaitu 38% mencadangkan Apple patut menggunakan nama iPhone 2021 sebagai alternatif kepada iPhone 13. 16% pengguna pula mencadangkan Apple mengikut nama seakan Samsung, iaitu iPhone 21, 13% ingin nama iPhone 12s dan 7% ingin Apple langkau nombor 13 dan terus memperkenalkan iPhone 14.

Anda pula bagaimana? Adakah ada di antara pembaca Amanz juga ada triskaidekafobia dan inginkan nama iPhone baharu digantikan dengan nama lain? Bincangkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd