Pandang Pertama Huawei Watch 3 Pro – Keharmonian Ke Pergelangan Tangan Pula

Diterbitkan pada Jun 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

HarmonyOS 2.0 diumumkan beberapa minggu yang lalu sebagai satu sistem operasi yang mengawal peranti keluaran Huawei. Ia adalah The One Ring kuasa yang dibentuk Huawei dengan harapan pengguna akan mendambakan peranti keluaran mereka seperti Gollum. Sebelum ini kami telah mencuba MatePad Pro 12.6 baharu yang harus kami akui berfungsi jauh lebih baik dari yang disangka.

Kali ini kita berubah ke peranti kedua dengan Harmony OS 2.0 di Malaysia iaitu jam tangan pintar Huawei Watch3 Pro yang mula ditawarkan hari ini. Adakah keharmonian yang dinikmati pada tablet turut dapat dinimati pada sebuah jam tangan pintar? Ini pandang pertama kami

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei Watch 3 Pro
Skrin1.43″ OLED, 466 x 466  pixel
Pemproses?
CipDua teras
Cip Grafik?
RAM2 GB RAM
Muatan Dalaman4GB
Sistem OperasiHarmonyOS 2.0
SensorGPS, pengimbas nadi, girometer, accelerometer,
barometer, SpO2, suhu badan.
Bateri? mAh (pengecasan 10W)
SIM/TelefonieSIM/4G
Pemain MuzikYa
NFCYa
Pembesar SuaraYa
Kalis Air5 ATM
Harga JualanRM 2199

Skrin

Skrin masih lagi bulat seperti jam-jam tangan Huawei Watch sebelum ini. Ia bersaiz 1.43″ dari keluarga AMOLED dengan resolusi 466×466 pixel yang sedikit lebih besar berbanding 1.39″ yang digunakan pada Watch GT 2 Pro. Ianya cukup terang walaupun di bawah cahaya matahari yang terang di Malaysia. Ia juga rata dengan bezel hitam yang tidak kecil dan sekata.

Tiada sebarang isu mengesan sentuhan kerana ia adalah penting memandangkan HarmonyOS 2.0 lebih mementingkan navigasi secara sentuhan berbanding butang fizikal yang digunakan pada model terdahulu. Rekaan bazelnya juga tidak begitu besar dan sekata. Dari sudut astetik ianya nampak cantik tetapi masih lagi praktikal.

Perkakasan

Di sini wujud pelbagai misteri kerana Huawei sendiri tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai pemproses yang digunakan kali ini. Yang diketahui hanyalah ia dilengkapi dua teras – satu teras prestasi dan satu lagi teras kuasa rendah yang menjimatkan penggunaan bateri. Kemungkinan besar ia masih lagi Kirin A1 kerana ia satu-satunya cip untuk peranti boleh-pakai yang dikeluarkan oleh Huawei sejak dua tahun yang lalu.

Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 2GB dan storan sebesar 16GB. Peningkatan mendadak dilakukan pada kedua-dua spesifikasi ini dilakukan. Pada Watch GT 2 Pro, hanya 32MB RAM dan storan 4GB dibekalkan pada jam tangan pintar ini. Malahan memori 2GB RAM pada Watch 3 Pro adalah yang terbesar ditawarkan pada jam tangan pintar di pasaran sekarang.

Storan yang agak besar ini perlu bagi membolehkan ia memuatkan lebih banyak lagu untuk didengari tanpa sokongan telefon pintar. Terdapat sokongan aplikasi untuk dimuat turun tetapi jumlah yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia masih terlalu kecil sekitar 15 aplikasi sahaja ketika artikel ini ditulis

Sebagai sebuah jam tangan pintar, Watch 3 Pro dilengkapi pelbagai sensor standard seperti pengesan nadi, pengesan SpO2 (oksigen dalam darah), accelerometer, girometer, barometer, GPS, dan suhu. Unik sekali terdapat sensor mengesan suhu kulit secara aktif yang setahu kami tidak wujud pada jam tangan lain di pasaran. Semasa diumumkan beberapa minggu yang lalu, Watch 3 Pro diperlihatkan dengan ciri mengesan kandungan gula dalam darah untuk pesakit kencing manis. Tetapi pada model yang sedang diulas ini ciri tidak pula disertakan ataupun disebut pada dokumen promosi.

Besar kemungkinan ia masih belum diluluskan oleh kerajaan Malaysia kerana jatuh ke dalam kategori peralatan perubatan. Satu ciri yang juga tidak disokong oleh Watch 3 Pro ialah ECG. ECG adalah ciri penting yang membuatkan Apple Watch menjadi jam tangan pintar paling laris di pasaran dunia. Setakat ini hanya Apple Watch sahaja menyokong ECG di Malaysia dengan Galaxy Watch 3 pula belum mengaktifkannya. Bagi sebuah jam tangan pintar premium, ketiadaan ECG pada Watch 3 Pro adakah kekurangan yang paling ketara.

Ciri menarik lain yang disertakan ialah sokongan eSIM untuk menerima rangkaian 4G LTE sekaligus membolehkan panggilan telefon dilakukan dari pergelangan tangan. Tanpa eSIM sekalipun ciri ini masih boleh dilakukan sekiranya jam ditambat kepada sebuah telefon pintar dengan kad SIM yang aktif. Tambatan boleh dilakukan menerusi bluetooth 5.2 dan sokongan WiFi pula adalah sehingga piawaian Wi-Fi 802.11 b/g/n.

Seperti spesifikasi juga sama penuh misterius seperti pemproses yang digunakan. Kami hanya diberitahu ia boleh bertahan selama lima hari dalam mod jam tangan pintar aktif, 14 hari pada mod jam tangan biasa dan 21 hari dalam mod penjimatan bateri. Hayat bateri yang amat baik jika dibandingkan dengan pesaing di pasaran.

Pengecasan berwayar pula adalah sehingga 10W tetapi pengecasan secara nirwayar juga disokong menyokong format Qi. Bagi mereka yang mempunyai peranti Huawei dengan pengecasan berbalik, Watch 3 Pro boleh dicas di belakang peranti sekiranya perlu.

Rekaan

Rekaan Watch 3 Pro adalah amat premium dan kontemporari. Akhir-akhir ini rekaan yang lebih menyerupai jam tangan konvensional kembali popular. Tubuh logam titanium yang tegap dipadankan dengan tali jam berkulit asli membuatkannya sesuai dipakai untuk acara formal ataupun pejabat (jika pejabat anda masih dibuka ketika sekatan penuh ini). Tubuhnya adalah tebal dengan panel belakang pula diperbuat daripada bahan seramik. Mungkin ada yang mengatakan jam tangan ini terlalu “gemuk” tetapi kami secara peribadi sangat suka dengan rekaannya kerana terasa sedap di tangan.

Tali kulit tidak mendatangkan kegatalan pada pergelangan tangan seperti sesetengah tali silikon yang pernah kamu gunakan. Jika ia terlalu format, pengguna boleh menggantikannya dengan tali jam biasa yang dijual di pasaran memandangkan ia menggunakan mekanisme yang sama. Anda tidak perlu bergantung kepada Huawei untuk pilihan tali jam yang ingin digunakan.

Namun begitu harus diakui Watch 3 Pro adalah sebuah yang amatlah besar dan berat. Lebih besar berbanding OnePlus Watch yang menerima kritikan hebat beberapa bulan lalu kerana saiznya. Oleh sebab yang sama kami tidak selesa memakainya ketika tidur sehingga membuatkan ciri mengesan tidur langsung tidak sempat kami gunakan. Berat sangat sehingga mengganggu tidur.

Kami boleh katakan Watch 3 Pro ini hanya sesuai dipakai oleh individu berbadan besar yang ingin kelihatan maskulin. Hanya Amazfit T-Rex yang kami ulas sebelum ini mempunyai tubuh yang lebih besar serta agresif rekaannya.

Penggunaan Dan Perisian

Walaupun sistem operasi HarmonyOS 2.0 menggantikan Lite OS yang digunakan sebelum ini, Watch 3 Pro masih boleh digunakan pada peranti Android dan iOS menerusi aplikasi Huawei Health. Kami mengujinya sejak seminggu lalu dengan menambatnya kepada sebuah Huawei P30 Pro. Untuk sokongan ciri-ciri dan perisian yang lebih baik, penggunaan pada peranti keluaran Huawei adalah disarankan kerana versi terkini aplikasi Huawei Health ditawarkan menerusi App Gallery sahaja.

Proses menambah adalah amat mudah. Sejurus selepas diaktifkan jam akan memaparkan kod QR yang perlu diimbas menggunakan Huawei Health. Proses mengambil masa sekitar 5 minit bergantung kepada jumlah data sandaran yang mungkin pernah disimpan di Huawei Cloud. Aplikasi Huawei Health mudah digunakan dan ia adalah perlu bagi memudahkan lagi proses kemas kini, melakukan tetapan notifikasi yang ingin dihantar ke jam dan pelbagai tetapan lain yang sedikit sukar dilakukan menerusi skrin 1.43″ Watch 3 Pro.

Penggunaan adalah agak mudah. Tombol berputar boleh ditekan untuk melancarkan talam aplikasi. Tekan dua kali untuk melancarkan skrin multi-tugas. Kali ini aplikasi disusun dalam bentuk grid yang amat mirip watchOS. Walaupun kami adalah pengguna Apple Watch, susunan aplikasi seperti ini adalah kurang mesra pengguna kerana hanya memaparkan ikon aplikasi. Tiada nama yang memberitahu fungsinya. Pada hemat kami sistem paparan aplikasi pada Lite OS dahulu adalah jauh lebih baik kerana mengelakkan kekeliruan.

Butang fizikal kedua yang lebih besar boleh diprogramkan ke satu aplikasi sahaja. Kami memprogramkannya untuk melakukan panggilan telefon. Majoriti proses navigasi pada HarmonyOS 2.0 adalah menggunakan tatalan skrin. Tatal ke kanan untuk kembali ke skrin asal. Tatal ke kiri pula untuk akses pantas ke ciri seperti mengambil bacaan nadi, suhu badan dan SpO2. Pilihan akses pantas adalah terhad. Kami berharap sangat terdapat pilihan untuk meletakkan kalender. Mungkin boleh ditawarkan menerusi kemas kini perisian di masa akan datang.

Kekurangan kustomasi ini mungkin berkait dengan jumlah aplikasi yang masih terhad. Watch 3 Pro mempunyai App Gallery khusus untuk aplikasi jam tangan pintar sahaja. Setakat ini hanya wujud sekitar 15 untuk menjejak aktiviti sukan dan radio atas talian. Huawei sedang membangunkan ekosistem aplikasi untuk jam tangan pintar mereka dan oleh sebab itu pilihannya masih jauh berbanding di watchOS, Wear OS dan Tizen Wearable. Oleh itu sedikit sukar untuk kami mengkategorikan Watch 3 Pro adalah sebuah jam tangan pintar penuh.

Isu lain terletak pada perisian HarmonyOS 2.0 yang masih belum cukup lancar. Harus kami katakan versi yang kami gunakan perlu dikemaskini dua kali sepanjang tempoh ulasan oleh itu bukan versi akhir yang akan ditawarkan kepada umum. Tetapi kami sedari sesetengah aplikasi mengambil masa sesaat sebelum boleh digunakan. Ia mengingatkan kami kepada perisian Tizen pada Gear S3 kami empat tahun lalu.

Tetapi kita kini di tahun 2021 dan sela masa yang ketara seperti ini tidak seharusnya wujud. Apple Watch ialah peranti yang menjadi model yang perlu dikalahkan oleh jam tangan pintar lain. Ianya pantas, responsif dan boleh dikatakan hampir tiada cela. Menerusi pengalaman awal menggunakan Watch 3 Pro, Huawei perlu berusaha dengan lebih gigih untuk menawarkan pengalaman yang setanding Apple Watch bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Kesimpulan

Jika MatePad Pro 12.6 kami puji kerana HarmonyOS 2.0 menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding EMUI, perkara yang sama tidak boleh kami katakan mengenai Huawei Watch 3 Pro. Perisian masih tidak sepantas pesaing paling hampirnya iaitu Apple Watch Series 6. Aplikasi yang ditawarkan sedikit dan tidak selancar yang pernah kami gunakan pada Lite OS sebelum ini. Seharusnya perisian baharu menambah baik dari perisian terdahulu tetapi sebaliknya berlaku dengan perpindahan ke HarmonyOS 2.0.

Pandang pertama kali ini adalah sedikit mengecewakan kerana ikhlas kami katakan kami tidak pernah mengalami kekecewaan dengan ekosistem jam tangan Huawei sebelum ini. Kami hanya boleh berharap perisian akan ditambah baik lagi sama seperti pengalaman HMS Core generasi pertama adalah berlainan sama sekarang dengan yang digunakan sekarang. Huawei ialah syarikat yang cukup berpengalaman dan kami percaya pada versi seterusnya, kekurangan yang kami alami dapat diselesaikan sekiranya diberi sedikit masa lagi.

Huawei Watch 3 Pro telahpun boleh dipra-tempah. Ia akan dijual di Malaysia pada harga RM 2199 yang adalah agak berani kerana hampir setanding dengan harga RM2599 untuk Apple Watch 44mm LTE. Ulasan penuh masih sedang diproses. Ia akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Pro

  • Tubuh logam titanium yang tegap serta premium kelihatan bergaya
  • Spesifikasi paling tinggi pernah ditawarkan oleh Huawei pada jam tangan pintar mereka.
  • Hadir dengan pelbagai sensor diperlukan untuk sebuah jam tangan pintar.
  • Boleh melakukan panggilan telefon.
  • Storan besar untuk memuatkan lagu.
  • Menyokong pengecasan bewayar dan nirwayar.

Kontra

  • Perisian HarmonyOS belum cukup lancar pada waktu ini.
  • Kekurangan aplikasi.
  • Tiada ECG seperti peranti pesaing.
  • Saiz terlalu besar untuk insan bertubuh kecil.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami