Pelancar Android TV Home Mula Memaparkan Iklan Auto-Main Di Tab “For You” – Tiada Pilihan Untuk Dimatikan

Diterbitkan pada Jun 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dua tahun lepas, Iklan mula muncul pada karusel skrin utama Android TV, yang mana menurut Google ia hanyalah pepijat. Beberapa bulan selepas itu, Google memperkenalkan iklan auto-main berbentuk Masthead. Bukan lagi pada karusel yang saiz kecil, tetapi terus saiz gergasi. Selepas Google TV diperkenalkan dan beberapa peranti Android TV mula menerima kemaskini antaramuka Android TV Home yang mirip dengan Google TVkarusel cadangan kandungan diperkenalkan yang turut memaparkan iklan.

Tetapi paparan iklan ini dilihat terhad kepada segelintir pengguna sahaja. Sehinggalah baru-baru ini, iklan auto-main ini diedarkan secara lebih meluas. 9to5Google mula menyedari iklan ini pada Chromecast With Google TV, melalui tab For you. Iklan auto-main ini dilihat bermula jika pengguna membuka tab ini sahaja. Kemudian melalui Android Police, ratusan pengguna Nvidia Shield TV turut melaporkan paparan iklan ini sehinggakan mereka memberi skor 1/5 untuk Android TV Home di Play Store.

Lebih mengecewakan, dalam tetapan sistem atau pada mana-mana tetapan dalam Android TV/Google TV tiada langsung pilihan untuk matikan iklan. Buat masa ini, ia dilihat hanya berlaku kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja kerana kebanyakan iklan adalah untuk Disney+ (versi sebenar) filem Luca dan juga platform penstriman Discovery+. Tivo Stream 4K yang saya gunakan di rumah masih lagi menggunakan Android TV Home versi lama yang bukan menggunakan antaramuka mirip Google TV masih tiada iklan lagi. Di dalam sistem juga ada pilihan untuk matikan iklan.

Perkara ini agak mengecewakan, kerana ramai pengguna Android TV membeli dongel, kotak set atau televisyen untuk menikmati platform penstriman video yang sudah dibayar secara langganan. Dengan adanya iklan, ia seakan tiada beza dengan menggunakan saluran televisyen biasa daripada satelit.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami