Xiaomi Mempatenkan Peranti Dengan Skrin Kuad-Lengkung Dan Tanpa Port

Diterbitkan pada July 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dua tahun lepas Meizu memperkenalkan kepada dunia, Meizu Zero – sebuah telefon pintar nirport yang dijual pada harga lebih RM5K. Namun peranti ini tidak dapat menarik hati orang ramai dan projek biayasama di Indiegogo gagal dicapai. Kemudian Vivo turut memperlihatkan konsep yang lebih kurang sama, Vivo Apex 2019 – konsep ini turut tidak diteruskan kerana masih banyak perlu dikaji agar penggunaan lebih stabil.

Terkini, Xiaomi pula dilihat telah mempatenkan sebuah peranti nirport mereka. Skrin peranti ini bukan sahaja melengkung di kedua-dua sisi, tetapi juga di atas dan bawah. Ia adalah peranti degan setiap sisi melengkung. Disebabkan kamera swafoto tidak kelihatan dalam imej paten, peranti ini mungkin menggunakan teknologi kamera swafoto bawah skrin.

Kamera utama pula dilihat adalah satu sensor besar dan terdapat bahagian untuk sensor kedua atau mungkin sensor tambahan lain. Peranti ini juga tiada langsung butang kawalan, butang kuasa, port pengecasan atau juga kekisi pembesar suara. Ia menggunakan eSIM untuk rangkaian, pengecasan dan sambungan nirwayar, setiap sisi skrin adalah untuk notifikasi, akses dan kawalan pintas dan lain-lain. Audio dikatakan adalah di bawah skrin dan akan bergegar melalui teknologi induksi.

Xiaomi memperlihatkan dua konsep rekaan. Model pertama ada elemen bingkai peranti pada setiap bucu skrin. Model kedua lebih menyeluruh, yang lebih cantik dan seakan konsep Mi Mix Alpha yang lebih ringan. Apa-apa pun, peranti unik seperti ini biasanya adalah peranti di bawah Mi Mix – selagi tiada informasi rasmi-rasmi sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami