Cari @ Amanz

Dodge Charger ialah kereta yang cukup diminati penggemar kereta berkuasa tinggi di Amerika Syarikat. Bagi peminat antarabangsa, ia kenderaan yang digunakan Dominic Toretto untuk mempertahankan famili dari kekejaman dunia. Kereta muscle ini sudah dihasilkan sejak 1966 dan evolusi seterusnya mungkin dalam bentuk kerete elektrik eMuscle.

Ketika acara Stellantis EV Day yang berlangsung awal pagi tadi. Dodge memberikan komitmen menghasilkan kenderaan elektrik berkuasa elektrik eMuscle dan Dodge Ram berkuasa bateri sepenuhnya menjelang 2024. Menerusi video acah yang dikongsi, eMuscle yang akan dihasilkan akan meminjam elemen rekaan Charger dan Challenger yang merupakan kereta muscle paling popular keluaran mereka.

Trak Dodge Ram yang diacah pula mempunyai rekaan lampu hadapan LED yang amat popular pada waktu ini. Dengan Ram elektrik, Dodge tidak mahu ketinggalan di belakang Ford yang menawarkan F-150 elektrik, GMC dengan Hummer EV dan Tesla Cybertruck yang memulakan trend trak elektrik bersama dengan Canoo serta Rivian.

Kesemua kenderaan elektrik berkuasa bateri sepenuhnya (BEV) Dodge akan dibina menggunakan platform STLA.  STLA Small untuk kereta kompak, STLA Medium untuk sedan, STLA Large untuk kereta AWD prestasi tinggi dan STLA Frame untuk trak. Dengan Dodge, syarikat yang selam ini bangga dengan legasi enjin bahan api fosil mereka yang berkuasa tinggi berubah ke elektrik, dunia automotif akan berubah dalam masa terdekat.

Ford, Ferrari, Betley, Honda, Volvo, BMW dan Lotus kesemuanya mempunyai strategi elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Ini memberikan persoalan sama ada pengguna bersedia untuk memilikinya. Walaupun dipasarkan sebagai lebih mesra alam, harga jualan BEV masih lagi di luar kemampuan orang ramai.

Negara kita pula masih belum mempunyai pelan infrastruktur pengecasan elektrik yang menyeluruh dengan stesen pengecasan masih berkuasa rendah yang perlahan. Adakah jurang kereta elektrik pula akan wujud selepas ini menggantikan jurang akses kepada peranti seperti yang dilihat sekarang?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd