Jun lalu, Oppo dan OnePlus telah bergabung dan OnePlus telah disahkan menjadi sub-jenama kepada Oppo. Antara perubahan baharu adalah Oxygen OS yang semakin mirip ColorOS yang boleh dilihat pada peranti OnePlus Nord 2. Walaupun begitu nama sistem operasi akan kekal sebagai Oxygen OS.
Dengan gabungan ini, Oppo telah melepaskan 20% pekerja di bahagian perisian dan peranti. Gabungan ini digelar sebagai era OnePlus 2.0 dan walaupun masih Oxygen OS tetapi asas kod adalah daripada ColorOS dan dua sistem operasi ini akan bergabung bermula 2022.
Terkini, pengguna boleh menguji Android 12 versi pembangun baharu pada OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro. Dalam versi terbaru ini, gabungan ColorOS dan Oxygen OS semakin jelas. Menurut Android Police yang telah mengujinya, dalam laman About peranti terdapat logo “12” daripada ColorOS 12. Kemudian banyak elemen rekaan adalah daripada ColorOS sendiri dengan beberapa elemen Oxygen OS.
ColorOS 12 telah pun dilancarkan awal bulan ini. Ia menawarkan pelbagai ciri Android 12 asli bersama dengan beberapa fungsi dan ciri baharu memfokuskan privasi, sokongan Omoji, dan banyak lagi.
Peranti pertama yang akan hadir dengan Android 12 Oxygen OS ini adalah OnePlus 9RT. Jadi kita mungkin akan lihat iterasi awal gabungan ini pada Oxygen OS 12 yang dijalankan pada peranti ini tidak lama lagi. Apa kata anda mengenai hal ini?