Google: 3 Tahun Kemaskini Sudah Mencukupi Untuk Pengalaman Penggunaan Yang Baik

Diterbitkan pada Jan 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Pixel 3 adalah antara peranti Pixel terbaik yang pernah saya gunakan secara peribadi. Ia mempunyai saiz yang baik, kamera yang cantik, serta prestasi yang boleh tahan. Pixel 3 XL juga begitu, tetapi rekaan takuk besar dan lebar membuatkan saya kurang menggemarinya.

Pixel 3 ini dilancarkan pada tahun 2018, dan tahun lepas sokongan kemaskini perisian sudah pun ditamatkan dengan janji satu lagi kemaskini pada suku pertama tahun 2022. Peranti ini juga sempat menerima kemaskini Android 12, iaitu sistem operasi terbaru Android.

Namun sayang sekali kepada semua pengguna Pixel 3, tanpa ada sokongan kemaskini perisian dan tampalan sekuriti – peranti ini boleh dikatakan merbahaya untuk digunakan dan serangan perisian hasad boleh berlaku dengan mudah. Ia akan menjadi satu risiko yang tinggi untuk terus menggunakannya. Disebabkan itu, pengguna peranti ini digalakkan menukar kepada peranti lain dan hanya menjadikan peranti ini sebagai peranti sandaran sahaja.

Dalam luahan tidak puas hati oleh Vice, mereka ada bertanya kepada wakil Google kenapa Pixel 3 hanya mempunyai tiga tahun sokongan kemaskini dan tidak lebih lama seperti iPhone – wakil Google menjawab yang tiga tahun sudah mencukupi untuk memberi pengguna pengalaman penggunaan yang baik.

Jawapan ini sudah semestinya membuatkan mereka dan pengguna lain rasa marah. Ini kerana Samsung boleh berikan peranti mercu mereka dan beberapa peranti lain sokongan kemaskini yang lebih lama, termasuk model yang dilancarkan sejak 2018.

Apa kata anda dengan keputusan Google untuk peranti mereka yang dilancarkan empat tahun lalu? Adakah ia satu keputusan yang baik?

komen


© Amanz / 2022 Kami